Murid PPKI SK Meru meninggal dunia akibat Influenza A

Murid PPKI SK Meru meninggal dunia akibat Influenza A

Klang: Seorang murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Jalan Tap di sini, meninggal dunia awal pagi hari ini, akibat jangkitan Influenza A.

Mangsa, Muhammad Syeikhu Azrin, 8, disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi.

Pihak sekolah turut memaklumkan berita pemergian murid berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan supaya rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan seluruh keluarga mangsa turut dijangkiti wabak berkenaan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, dua kes kematian dikaitkan dengan influenza membabitkan kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat dan 11 tahun direkodkan setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu tinggal di Sabah, manakala 11 tahun di Terengganu.

“Kita masih lagi melakukan kajian dan penelitian apakah sebab serta punca sebenarnya kematian kedua-dua kanak-kanak ini,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top