kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad (CIMB) bekerjasama dengan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), memperkenalkan kad debit baharu CIMB PETRONAS Visa Debit Card, bagi membantu pelanggan berjimat dalam perbelanjaan petrol dan kenderaan dengan potensi pulangan tunai sehingga RM2,000 setahun bagi pemegang kad debit dan kredit.
Pelancaran kad debit baharu itu meluaskan lagi rangkaian kad petrol CIMB, melengkapkan CIMB PETRONAS Visa Credit Card yang diperkenalkan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, selain memberi ganjaran kepada pelanggan yang menggunakan produk kewangan dan perkhidmatan mereka secara konsisten.
Katanya, kad debit baharu itu direka untuk membantu pelanggan menikmati penjimatan sebenar pada perbelanjaan asas seperti petrol, insurans kenderaan dan perkhidmatan cuci kereta.
“Kad CIMB PETRONAS Visa Debit ini akan membantu pelanggan memanfaatkan setiap ringgit dengan lebih baik.
“Dengan penjimatan yang ditawarkan, kami berharap dapat membantu membina ketahanan kewangan pelanggan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kolaborasi bersama PETRONAS membuktikan potensi besar kerjasama antara syarikat tempatan untuk menawarkan penyelesaian bermakna kepada masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PETRONAS Dagangan Berhad, Azureen Azita Abdullah berkata, kad itu turut memberikan pelanggan pengalaman lebih mudah dan berbaloi, khususnya mereka yang menggunakan aplikasi Setel dan berbelanja di Kedai Mesra.
“Kad ini direka untuk membantu pengguna mengurus perbelanjaan harian dengan lebih bijak, selain menawarkan penjimatan sebenar ke atas petrol dan pembelian di Kedai Mesra.
“Apabila dihubungkan dengan aplikasi Setel, pengguna juga akan menikmati ganjaran tambahan serta transaksi tanpa tunai yang lancar,” katanya.
Kad baharu itu menawarkan 10 peratus pulangan tunai bagi transaksi di PETRONAS termasuk Setel, Cafe Mesra, pengecasan kenderaan elektrik (EV) terpilih, insurans kenderaan dan takaful (Berjaya Sompo dan Takaful IKHLAS) serta perkhidmatan cuci kereta yang menerima bayaran kad debit.
Antara had ganjaran yang ditetapkan termasuk transaksi PETRONAS RM30 sebulan atau RM360 setahun, insurans kenderaan RM50 setahun, cuci kereta RM10 sebulan atau RM120 setahun.
Selain itu, pelanggan perlu mengekalkan baki purata bulanan minimum sebanyak RM1,000 dalam akaun semasa, simpanan atau pelaburan CIMB bagi melayakkan diri menerima ganjaran.
Kad ini kini boleh didapati di semua cawangan CIMB di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




