am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis sudah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang ejen insurans dalam sebuah bagasi berhampiran sebuah pangsapuri di Ampang, Butterworth, 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, individu yang dipanggil itu termasuk saksi yang menemukan mayat dan kereta mangsa.
“Setakat ini tiga saksi sudah dipanggil bagi diambil keterangan termasuk orang yang menemukan mayat dan kereta mangsa.
“Kita giat mengesan suspek yang terbabit serta berharap dia dapat dikesan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity 2026 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Mengenai dakwaan mangsa dibawa ke bank sebelum dilaporkan hilang, Azizee berkata, siasatan masih diteruskan.
Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat ejen insurans, Lee Boon Han, 31, oleh seorang pekerja penyelenggaraan longkang kira-kira jam 1.43 tengah hari.
Azizee berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat itu ditemukan dalam beg dengan keadaan leher cedera, tangan diikat dan kepala diserkup menggunakan plastik.
Katanya, punca kematian mangsa adalah kerana sesak nafas berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




