Hazwani Helmi Dedah Sisi Lain ZRA – “Macam Seorang Ayah, Dia Hargai Pandangan Anak Muda”

Hazwani Helmi Dedah Sisi Lain ZRA – “Macam Seorang Ayah, Dia Hargai Pandangan Anak Muda”

Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi mencuri perhatian ramai selepas berkongsi keperibadian sebenar bekas wartawan dan aktivis kemanusiaan, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA) yang disifatkan sangat beradab, merendah diri dan menghormati semua orang tanpa mengira pangkat.

Menerusi perkongsian di platform Threads, Hazwani mendedahkan sebelum menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), dia sering mendengar cerita mengenai ketegasan ZRA daripada rakan-rakan di stesen TV AlHijrah tempat dia pernah bekerja.

“Sebelum dapat sertai GSF, saya banyak dengar tentang ZRA dari geng TV AlHijrah. Semua orang kata ‘ZRA sumpah garang, bersiap sedialah kena maki’.

“Jadi tanpa sedar saya pun ada mindset takut nak jumpa. Tapi bila tahu dia sertai misi kali ini, perasaan saya terus berubah sebab bukan calang-calang orang yang turut serta,” katanya.

Hazwani yang juga adik kepada selebriti, Heliza Helmi ini berkata, sepanjang berada dalam misi tersebut, dia berpeluang memerhati sikap dan keperibadian ZRA yang sangat beradab walaupun sering digambarkan tegas.

“To my surprise, walaupun kita tahu ZRA ini jujur dan kalau dia nak marah, dia marah saja, tapi kali ini saya nampak sisi lain dia sangat menghormati orang dan cuba menyantuni semua yang sekapal dengannya,” ujarnya.

Menurut Hazwani lagi, antara perkara yang paling menyentuh hati ialah cara ZRA meraikan setiap individu tanpa mengira pangkat atau nama.

“Dalam mana-mana program, biasanya orang akan fokus kepada Kak Ja (Heliza Helmi) sebab dia lebih peramah, saya pula introvert. Tapi dengan ZRA, dia sebut nama setiap seorang termasuk saya yang bukan siapa-siapa.

“Waktu itu rasa terharu sangat, macam menang anugerah sebab tahu kehebatan ilmu beliau,” katanya lagi.

Hazwani turut menambah ZRA juga seorang yang menghargai pandangan anak muda dan sentiasa memberi keyakinan kepada mereka untuk bersuara.

“Masa temu bual di Astro Awani, kami The Helmis sangat gementar. Tapi setiap kali kami jawab soalan, dia akan fokus dan mengangguk. Respon dia buat kami rasa tenang, macam ada seorang ayah yang cakap ‘you can do this’,” katanya.

Perkongsian Hazwani itu menerima pujian ramai warganet yang turut mengakui keperibadian ZRA sebagai individu tegas namun berhati lembut serta sentiasa memberi inspirasi kepada generasi muda dalam dunia kemanusiaan dan kewartawanan.

Artikel Berkaitan: “Saya Tak Boleh Berdepan Orang Ramai Bila Anak & Isteri Dalam Ingatan” – Zainal Rashid Ahmad Perjelas Pulang Secara Rahsia

Artikel Berkaitan: Layanan Tentera Wanita Lebih Kejam! Heliza & Hazwani Helmi Bongkar Taktik Isr**l – “Laser S*njata Dah Diacukan, Kami Tetap…”

Scroll to Top