mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kelana Jaya: Keputusan berhubung rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kes hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.
Peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz yang mewakili FAM di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA, berkata rayuan rasmi sudah difailkan pada 14 Oktober, susulan keputusan asal yang dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu.
“Situasi sekarang ialah keputusan asal telah dikeluarkan pada September. Dalam tempoh masa ditetapkan, kami memfailkan rayuan rasmi pada 14 Oktober,” katanya, dalam sidang media khas di Wisma FAM, sebentar tadi.
Beliau menjelaskan bahawa Jawatankuasa Rayuan FIFA memaklumkan keputusan akan dibuat pada 20 Oktober, sebelum diumumkan kepada semua pihak terbabit beberapa hari kemudian.
“Kami dimaklumkan keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Oktober 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan. Kemungkinan besar ia akan dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan pada hari yang sama atau beberapa hari selepas itu,” katanya.
Menurut Vittoz, proses rayuan ini menjadi peluang penting bagi FAM mengemukakan hujah serta dokumen tambahan bagi mempertahankan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.
Jika keputusan Jawatankuasa Rayuan tidak memihak kepada Malaysia, FAM masih mempunyai saluran seterusnya untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi proses semakan lanjut.
“Selepas keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan ini, jika FAM atau pemain tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan rayuan ke CAS. Namun, proses di peringkat itu akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan,” katanya.
Beliau menegaskan semua langkah yang diambil FAM menunjukkan komitmen penuh untuk mempertahankan nama baik bola sepak negara dan memastikan keadilan diberikan kepada pemain terbabit.
“FAM menghormati sepenuhnya proses perundangan dan tatatertib FIFA serta percaya semua fakta akan diteliti secara objektif sebelum keputusan akhir dibuat,” katanya.
Vittoz turut menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes itu secara rapat dan memberi kerjasama penuh kepada FIFA sepanjang proses berlangsung bagi memastikan ketelusan dan integriti dikekalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




