Kane cipta magis sendiri – Kompany

Kane cipta magis sendiri – Kompany

Munich: Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany menegaskan beliau tidak mahu mengambil sebarang kredit terhadap prestasi luar biasa Harry Kane musim ini, sebaliknya menyifatkan kejayaan penyerang England itu berpunca daripada kerja keras dan keinginan untuk terus berjaya.

Kane kini mempamerkan prestasi luar biasa dengan 11 gol dalam enam perlawanan liga, sekali gus mengumpul 18 jaringan dalam semua pertandingan musim ini untuk membantu Bayern mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam 10 aksi.

Penyerang berusia 32 tahun itu turut meledak dua gol ketika membantu England membelasah Latvia 5-0, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026.

Namun ketika ditanya mengenai kenyataan Kane yang memuji sentuhan bimbingannya, Kompany menolak pujian itu dengan rendah hati.

“Dia sendiri yang membuka kunci ke tahap seterusnya,” kata Kompany pada sidang media menjelang pertembungan Klasiker Bundesliga menentang Borussia Dortmund, Ahad ini.

“Dia sudah melakukannya sepanjang karier. Peningkatannya lebih kepada mentaliti. Dia bekerja keras setiap tahun. Mungkin kerana dia belum pernah meraih kejuaraan sebelum ini, dia kekal dahagakan dan bermotivasi seperti pemain muda.”

Kane, yang dianggap antara penyerang terbaik generasinya, sebelum ini hanya meraih pelbagai anugerah individu tanpa sebarang kejuaraan pasukan ketika bersama Tottenham Hotspur, sebelum akhirnya menamatkan ‘sumpahan tanpa trofi’ dengan menjulang piala Bundesliga musim lalu.

“Pemain seperti dia tak boleh dikembangkan lagi oleh jurulatih,” kata Kompany.

“Dia sendiri yang perlu mahukannya.”

Kompany kini berharap rentak berbisa Kane berterusan apabila Bayern menentang Dortmund, yang ketika ini berada empat mata di belakang pendahulu liga itu dan masih belum tewas dalam saingan domestik serta Eropah musim ini.

Dortmund turut menampilkan benteng kukuh apabila hanya bolos satu gol dalam lima perlawanan liga terakhir.

“Pertemuan ini ibarat dua penumbuk bertembung,” ujar Kompany.

“Kedua-dua pasukan belum tewas, sebab itu perlawanan ini diberi tumpuan besar.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top