am@hmetro.com.my
Georgetown: Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak mengalami cedera dipercayai akibat disamun di Taman Pekaka, di sini, hari ini.
Menurut hantaran di Facebook (FB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dzulkifli yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu disamun selepas pulang daripada menunaikan solat Subuh.
“Beliau mengalami kecederaan di kepala dan dikenakan sebanyak 15 jahitan berikutan dihentak di kepala dengan objek disyaki pistol oleh suspek.
“UUM turut bersimpati, mohon doakan Tan Sri Dzul,” menurut hantaran itu, hari ini.
Sementara itu, keluarga Dzulkifli dalam kenyataan yang dikongsi UUM mengesahkan beliau berada dalam keadaan stabil dan selamat selepas menjalani pemeriksaan penuh di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Alhamdulillah, beliau sudah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di HPP dan disahkan sihat oleh doktor.
“Untuk makluman, dua orang anak beliau kini tinggal bersama di Pulau Pinang. Insya-Allah, jangan bimbang.
“Laporan polis juga sudah dibuat berhubung kes ini dan kami akan memaklumkan perkembangan selanjutnya selepas siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




