lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) akan menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mahasiswa yang dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh bangunan kolej kediaman, di sini, hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan penuh insiden itu.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“KPT maklum insiden membabitkan penuntut UM yang berlaku di sebuah kolej kediaman.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Laporan dan siasatan penuh sedang dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, seorang mahasiswa UM dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman di universiti itu, kira-kira 3.30 petang tadi.
UM dalam kenyataan rasmi memaklumkan, penuntut terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




