The Hague: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat menolak cubaan Israel untuk merayu terhadap waran tangkap untuk Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant berhubung perang Gaza.
Dalam keputusan yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia, ICC pada November lalu mendapati “alasan munasabah” untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant memikul “tanggungjawab jenayah” atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
ICC juga mengeluarkan waran tangkap untuk tiga pemimpin tertinggi dari Hamas tetapi menggugurkannya selepas kematian mereka.
Waran terhadap Netanyahu dan Gallant mencetuskan kemarahan di Israel dan juga di Amerika Syarikat (AS), yang sejak itu mengenakan sekatan ke atas pegawai tertinggi ICC.
Netanyahu menyifatkan ia sebagai “keputusan anti-Semitik” dan presiden AS ketika itu Joe Biden menyelarnya sebagai “keterlaluan.”
Israel pada Mei lalu meminta ICC untuk membatalkan waran itu sementara ia menimbang mengemukakan permohonan berasingan untuk mencabar sama ada ICC mempunyai bidang kuasa dalam kes itu.
Mahkamah menolak ini pada 16 Julai, dengan mengatakan “tiada asas undang-undang” untuk membatalkan waran sementara permohonan berhubung bidang kuasa itu belum selesai.
Seminggu kemudian, Israel meminta kebenaran untuk merayu keputusan itu, tetapi hakim memutuskan pada Jumaat bahawa “isu itu, seperti yang dirangka oleh Israel, bukan isu yang boleh dirayu.”
“Oleh itu, Dewan menolak permintaan itu,” kata ICC dalam ketetapan setebal 13 muka surat yang kompleks.
Hakim ICC masih mempertimbang permohonan Israel untuk mencabar waran tangkap itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




