saufi@mediaprima.com.my
Port Dickson: Kesedaran terhadap kepentingan mengurus wang dengan bijak perlu dipupuk sejak kecil, sejajar dengan usaha membentuk generasi berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka.
Bersempena Bulan Literasi Kewangan 2025, Kumpulan Tune Protect Berhad (Tune Protect) dengan kerjasama Harian Metro menganjurkan Program Celik Kewangan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa (SKKBSR) di sini dan turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk murid-murid berkaitan celik kewangan.
Ketua Pegawai Strategi dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect, Koot Chiew Ling berkata, literasi kewangan membantu murid memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak, sekali gus membentuk tabiat menabung yang baik.
Menurutnya, syarikat berkenaan bukan saja menawarkan perlindungan insurans, tetapi memberi sumbangan kepada masyarakat dengan literasi serta pengurusan kewangan yang bijak.
Katanya, celik kewangan bukan sahaja membantu mereka mengurus perbelanjaan dengan lebih baik, tetapi juga mempersiapkan diri menghadapi kehidupan dewasa lebih mencabar.
“Program seumpama ini menyokong terhadap kelestarian Tune Protect dengan memberi pendidikan berkaitan kewangan ini sejak di bangku sekolah lagi dengan maklumat serta ilmu pengetahuan yang berkaitan.
“Kita juga sangat berterima kasih kepada Harian Metro yang sudah menjadi rakan strategik sejak beberapa tahun lalu, sekali gus setiap maklumat yang berguna dapat disampaikan dengan efisien.
“Kita mahu mesej literasi kewangan ini sampai di seluruh negara tidak mengira usia dan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit berkata, program berkenaan memperlihatkan komitmen HM serta rakan strategik Tune Protect untuk terus mendekati masyarakat melalui pendidikan kewangan di peringkat awal usia.
“Pendekatan itu bertujuan menyemai kefahaman tentang pengurusan kewangan yang bijak sejak kecil agar dapat membentuk generasi celik kewangan dan bertanggungjawab terhadap masa depan mereka.
“Hubungan kerjasama antara Harian Metro dan Tune Protect bukanlah sesuatu yang baharu kerana kedua-dua pihak sudah membina sinergi kukuh sejak 2023 melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kerjasama ini sudah diterjemahkan melalui pelbagai program yang menyentuh hati dan kehidupan rakyat antaranya, gotong-royong memasak bubur lambuk di Bandar Tasik Permaisuri (Kuala Lumpur) pada bulan Ramadan yang bukan sekadar menyemarakkan semangat kebersamaan, tetapi turut sama menyantuni golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Yusri Abdul Malek; Pengarang Berita Kanan merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz dan Guru Besar SKKBSR, Mustaza Shapiai.
Beliau berkata, inisiatif itu bakal menjadi permulaan kepada kesedaran besar dalam kalangan anak-anak bahawa kewangan yang diurus dengan bijak akan membuka jalan kepada kehidupan yang lebih tenang, sejahtera, dan lestari.
Program beri manfaat besar kepada murid
Port Dickson: Program Celik Kewangan mampu untuk membuka minda murid sekolah berhubung kepentingan menguruskan wang serta mengajar untuk lebih berdisiplin dan berintegriti.
Program berkenaan yang dianjurkan oleh Harian Metro serta Kumpulan Tune Protect memberikan dimensi baharu dalam pengurusan kewangan di peringkat awal usia.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa (SKKBSR) Mustaza Shapiai berkata, program itu memberi peluang kepada murid belajar di luar bilik darjah mengenai aspek pengurusan kewangan, sekali gus memberi elemen penting dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, program seumpama ini sangat berguna dan memberi manfaat besar kepada murid kerana mereka didedahkan bagaimana untuk menabung, mengurus kewangan sejak di usia muda serta memahami nilai wang dalam kehidupan.
“Apabila mereka meningkat dewasa nanti, ilmu ini akan membantu mereka membuat keputusan kewangan yang bijak dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai gejala negatif.
“Celik kewangan bukan sekadar tentang menabung atau berbelanja dengan bijak, tetapi juga membentuk disiplin dan integriti dalam diri murid sebagai asas kepada sahsiah serta jati diri yang baik.
“Ilmu kewangan bukan hanya tentang angka, tetapi tentang membina sikap bertanggungjawab, berdisiplin dan beretika dalam membuat keputusan,” katanya.
Katanya, penganjuran program berkenaan membuktikan peranan penting sektor media dan korporat dalam memperkukuh pembangunan insaniah generasi muda.
Beliau turut menyatakan rasa teruja dengan Kerjasama Harian Metro, Tune Protect dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang sanggup turun padang mendidik murid tentang celik kewangan.
“Kerjasama sebegini amat penting bagi membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga celik kewangan dan bijak mengurus masa depan mereka,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat diteruskan di lebih banyak sekolah bagi menyemai kesedaran pengurusan kewangan sejak peringkat awal persekolahan, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdaya saing dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




