am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Rakaman suara memaparkan perbualan antara seorang lelaki yang memaklumkan kepada rakan sekerjanya tidak dapat dapat hadir ke tempat kerja selepas menemukan isteri dan anak perempuannya mati dibunuh tular di media sosial.
Ia sekali gus meruntun jiwa netizen yang mendengarnya dan mendoakan supaya lelaki itu diberikan ketabahan dalam
menghadapi ujian yang begitu sukar untuk diterima.
Menerusi rakaman suara berdurasi 20 saat yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp itu, individu terbabit dipercayai suami mangsa dalam keadaan trauma sambil menangis teresak-esak memaklumkan yang dia tidak dapat hadir ke tempat kerja esok (hari ini) berikutan insiden yang menimpa isteri serta anaknya.
“Assalamulaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah. Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh,” rintihnya dalam nada sayu dan sebak.
Berdasarkan hantaran komen dari pengguna media sosial, rata-rata mengenali isteri mangsa iaitu seorang penjual kuih yang disifatkan begitu baik dan rajin mencari pendapatan membantu keluarga.
“Kami pun baru tahu 10 minit lepas masih terkejut. Kak ini (dikenali Kak Su) baik sangat, rajin berniaga macam-macam kuih raya roti bagai (dia jual)
“Runtun hati dengar suara suami arwah, balik-balik rumah tengok anak bini kena bunuh.. Semoga diberi ketabahan buatnya,”katanya.
Seorang lagi pengguna media sosial mendakwa bahawa rumah mangsa dimasuki penyamun dan berharap pelaku kes itu dapat segera ditangkap oleh polis dalam masa terdekat.
Terdahulu, media melaporkan, mayat wanita berusia 51 bersama anak perempuannya berusia 11 tahun itu ditemukan suaminya 7.30 malam tadi di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, di sini.
Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus.
Manakala, anaknya dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketika ini, pihak media masih mendapatkan maklumat lanjut daripada polis berkaitan suspek dan motif pembunuhan dua beranak berkenaan.
Berita berkaitan
Suami sebak beritahu jiran anak isteri mati dibunuh
Ibu, anak dipercayai dibunuh dalam keadaan mengerikan
© New Straits Times Press (M) Bhd




