Mahkamah Rendah Syariah menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan pengesahan lafaz cerai dan rujuk membabitkan pempengaruh, Ahmad Aslam terhadap isteri keduanya, Marissa Dania Hakim.
Semua pihak telah beri keterangan
Memetik laporan daripada Kosmo! keputusan itu dibuat selepas Hakim Syarie, Nadiah Khamis mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung pada Rabu.
Peguam syarie mewakili Aslam memaklumkan perbicaraan berjalan lancar dan kini hanya menunggu keputusan mahkamah.
“Prosiding berjalan dengan lancar dengan semua pihak telah memberi keterangan dan alhamdulillah, perbicaraan selesai hari ini.
“Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan berkenaan, jadi kita doakan yang baik-baik sahaja.
“Selagi mahkamah belum membuat keputusan, status mereka kekal sebagai suami isteri,” katanya.

Tiada sebarang pemfailan kes baharu
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tiada sebarang pemfailan kes baharu berkaitan perceraian walaupun timbul laporan mengenai hasrat Marissa Dania untuk berpisah.
Sebelum ini, pasangan tersebut dilaporkan melalui beberapa fasa cerai dan rujuk sejak September 2024 hingga Jun tahun lalu.

Untuk rekod, Aslam dan Marissa bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, manakala Aslam juga pernah melalui episod perceraian dan rujuk bersama isteri pertamanya, Umisya Mazlan.
Sumber: Kosmo! (Noor Azlida Alimin)




