Satu lagi kematian akibat rabies di Sarawak

Satu lagi kematian akibat rabies di Sarawak

Kuching: Satu kes kematian baharu akibat wabak rabies dilaporkan di Hospital Bintulu pada 12 Oktober lalu membabitkan seorang lelaki tempatan, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

JKNS memaklumkan dengan pertambahan kes baharu itu, kes berkaitan penularan rabies meningkat kepada lima dilaporkan dalam tahun ini.

“Pesakit berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Sebauh, Bintulu. Pada 8 Oktober, pesakit mula mengalami gejala sakit di bahagian dada dan dimasukkan ke Hospital Bintulu pada 10 Oktober,” menurut JKNS dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan mengalami hidrofobia, afasia, hipersalivasi dan kesukaran menelan semasa berada di wad hospital sebelum disahkan meninggal pada 12 Oktober, selain mempunyai sejarah digigit seekor anak anjing terbiar luka selepas digigit anjing dewasa terbiar di ladang itu 17 September lalu.

“Pesakit turut mengendalikan bangkai anak anjing terbiar tersebut yang mati beberapa hari selepas kejadian gigitan itu. Pesakit tidak mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan bagi luka gigitan tersebut,” menurut kenyataan itu.

JKNS turut memaklumkan bagi tempoh dari 1 Januari hingga 11 Oktober tahun ini, sebanyak 16,295 kes gigitan haiwan dilaporkan di negeri ini, dengan purata 402 kes setiap minggu.

“Sebanyak 10,021 kes adalah gigitan atau cakaran kucing, 6,078 kes gigitan anjing, manakala 196 kes gigitan haiwan lain.

“Selain itu, 10,999 kes membabitkan haiwan peliharaan manakala 5,296 membabitkan haiwan terbiar,” menurut JKNS.

JKNS memaklumkan empat daripada lima kes rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Sarawak pada tahun ini tidak mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing atau kucing yang berisiko jangkitan rabies.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top