Gavin juara Piala PGM Tun Ahmad Sarji

Gavin juara Piala PGM Tun Ahmad Sarji

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Gavin Green berjaya meraih gelaran pertama musim ini sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM31,500 selepas muncul juara Piala PGM Tun Ahmad Sarji yang berlangsung di Saujana Golf and Country Club hari ini.

Gavin yang beraksi cemerlang pada hari pertama berjaya mencatat 63 pukulan dan itu ternyata memberi kelebihan besar buatnya untuk berada di kedudukan teratas sekali gus sukar digugat juara bertahan, Anson Yeo.

Bagi Gavin, kejayaan itu amat bermakna buat dirinya selepas berehat beberapa bulan tanpa sebarang pertandingan kompetitif dan dia lebih menumpukan kepada aksi konsisten pada kejohanan kali ini.

“Saya rasa soal konsistensi itu yang paling penting. Minggu ini saya memang cari konsistensi dan sekurang-kurangnya saya dapat capai perkara itu. Sudah lama juga saya tidak bermain dalam kejohanan sejak sekitar November atau Disember lalu.

“Jadi sudah beberapa bulan saya tidak merasai tekanan pertandingan dan semua situasi itu. Jadi saya rasa bagus dapat kembali beraksi, tambahan pula saya memang suka bermain di Saujana,” katanya selepas sesi penyampaian hadiah.

Selain itu, pemain berusia 33 tahun itu juga gembira kerana berjaya mengulangi pencapaian pada 2022 dan percaya kejayaan itu mampu menjadi momentum untuk terus meningkatkan prestasinya.

“Sudah tentu gembira kerana saya sentiasa suka menang. Menang memang perasaan terbaik. Tetapi pada masa sama kita perlu terus bekerja keras sebab masih ada ramai pemain bagus seperti Marcus Lim dan Anson yang sedang meningkat. Jadi saya perlu teruskan usaha,” katanya.

Sementara itu, kategori wanita dimenangi Liyana Azizan Durisic dengan kelebihan tiga pukulan ke atas Zulaikah Nasser. Selaku juara, Liyana membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Ini adalah gelaran kedua buat Liyana apabila sebelum ini turut cemerlang muncul juara Kejohanan Golf Wanita Dunia Sand Greens 2026 di Holbrook Returned Servicemen’s Golf Club di Australia.

5 kedudukan teratas kategori Lelaki

202: Gavin Green 63-71-68

208: Anson Yeo 69-70-69

209: Marcus Lim 71-69-69

216: Zia Iqmal 74-72-70

216: Afif Fathi 74-71-71

3 kedudukan teratas kategori Wanita

211: Liyana Durisic 69-68-74

214: Zulaikah Nasser 73-69-72

220: Allycia Gan 73-73-74

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top