Ibu tunggal OKU autisme gigih berjalan kaki hantar pesanan makanan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kajang: Ketika kebanyakan penghantar makanan menggunakan motosikal, seorang ibu tunggal yang juga individu autisme dan orang kurang upaya (OKU) fizikal memilih berjalan kaki dan menunggang basikal menghantar pesanan demi mencari rezeki untuk anaknya.

Berkongsi kisahnya, Nur Rahimah Alia Salehuddin, 44, sudah biasa menggalas beg penghantaran sambil berjalan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendapatkan pesanan pelanggan.

Biarpun ada ketikanya terpaksa berjalan sehingga kira-kira 20 kilometer, wanita itu tetap meneruskan pekerjaan berkenaan kerana sukar mendapatkan pekerjaan tetap.

“Kalau dapat kerja dua hingga tiga jam saja saya sudah bersyukur, itu yang saya boleh buat kerana sekarang jadual penghantaran tidak banyak

“Saya selalu menggunakan basikal atau berjalan kali untuk menghantar makanan tapi baru-baru ini, basikal lipat saya dicuri jadi saya terpaksa menghantar makanan berjalan kaki semula,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.

Malah, katanya, dia pernah memohon pekerjaan termasuk dalam bidang makanan dan minuman, namun tidak mendapat jawapan daripada sesetengah majikan.

“Saya mula kerja sebagai penghantar makanan pada 2020 selepas banyak kali cuba cari kerja dalam bidang lain, tetapi tidak berhasil sehingga kini. Mungkin sebab mereka tengok saya OKU,” katanya.

Bagi Nur Rahimah, pekerjaan sebagai penghantar makanan pada awalnya dilakukan dengan berjalan kaki kerana dia belum mempunyai basikal.

Dia kemudian menerima sebuah basikal melalui satu program pada penghujung 2020 yang sedikit sebanyak memudahkannya bergerak mendapatkan pesanan.

Namun, basikal miliknya dicuri baru-baru ini menyebabkan dia kembali bergantung kepada kudrat sendiri untuk bergerak.

“Basikal itu dicuri walaupun saya sudah menguncinya berhampiran MRT (transit aliran massa) Surian. Kunci basikal itu dipotong dan hanya rantainya yang tinggal,” katanya.

Kehilangan basikal itu menambahkan kesukaran kerana ketika berjalan kaki, dia perlu menggalas beg peribadi dan beg penghantaran makanan.

Di sebalik pekerjaan yang dilakukannya itu, Nur Rahimah sebenarnya mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang teknologi maklumat dan pengujian perisian dan bekerja di beberapa syarikat berasaskan teknologi.

Bagaimanapun, beliau terpaksa berhenti kerja pada 2018 untuk menjaga ibunya yang sakit sebelum ibunya meninggal dunia pada 2020.

“Selepas itu, saya mendapati semakin sukar mendapatkan pekerjaan tetap semula, malah ada permohonan ditolak kerana dianggap terlebih kelayakan,” katanya.

Dalam masa sama, Nur Rahimah perlu mengutamakan keperluan anaknya yang kini berusia sembilan tahun selepas perkahwinannya berakhir pada 2018.

Katanya, pendapatan daripada kerja penghantaran makanan tidak banyak dan adiknya turut banyak membantu menanggung keperluan keluarga.

Nur Rahimah berkata, dia disahkan autisme ketika melanjutkan pengajian diploma selepas pernah berdepan pengalaman dibuli ketika berada di kampus pada 2003.

Menurutnya, keadaan autisme menyebabkan dia kadang kala sukar memahami gurauan, sindiran atau perkara yang tidak disampaikan secara terus ketika berada di tempat kerja.

“Saya bukan tidak boleh bergurau, tapi sukar untuk memahami maksud tersirat yang disampaikan orang lain,” katanya.

Kini, selain meneruskan pekerjaan sebagai penghantar makanan, Nur Rahimah masih mencari peluang untuk mendapatkan pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakannya.

Katanya, dia berharap dapat bekerja sebagai tutor Bahasa Inggeris kerana pernah membantu rakan-rakan yang lemah dalam subjek berkenaan ketika berada di universiti.

“Buat masa ini, selagi belum memperoleh pekerjaan tetap, saya memilih untuk terus berjalan, menghantar makanan dan mencari rezeki demi membesarkan anak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top