mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi Atilia Haron meluahkan hasrat berkongsi pengalaman muzikal peribadi kepada peminat sempena konsert solonya yang berlangsung di Robert’s Theatre, The Campus Ampang, Sabtu ini.
Atilia atau nama sebenar, Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, menyeru peminat mendapatkan tiket menonton kerana bakal menyajikan persembahan istimewa buat semua yang hadir.
“Konsert ini diadakan sempena meraikan ulang tahun kelahiran saya. Ia didedikasikan khas untuk semua peminat setia sepanjang empat dekad dalam industri muzik.
“Ia akan menjadi pengalaman muzikal yang amat peribadi kerana saya mengajak peminat memasuki bab paling intim dalam perjalanan saya, dengan penampilan istimewa rakan baik saya dari Indonesia, SORE Ze Band yang terkenal,” katanya.
Konsert ini menandakan detik penting dalam perjalanan seni Atilia, membentuk semula konsert secara langsung sebagai satu pengalaman peribadi bersama di mana muzik berkembang menjadi kenangan, renungan, dan pembaharuan.
Berteraskan kedekatan emosi dan evolusi seni, konsert ini mengajak penonton memasuki ruang yang amat peribadi di mana lagu-lagu dihidupkan semula dan ditafsir semula mengikut gaya khasnya yang tiada tandingan.
“Ini menandakan persembahan besar pertama saya yang dibentuk oleh niat, kejujuran, dan kejelasan emosi. Konsert Atilia Haron adalah potret intim selama 90 minit mengenaj seorang artis yang sedang berevolusi.
“Penampilan SORE Ze Band lebih daripada sekadar jemputan kerana mereka adalah rakan kreatif penting dalam membentuk identiti muzikal konsert ini,” katanya.
Dibina atas visi seni yang dikongsi bersama dan hubungan peribadi Atilia dengan mendiang Ade Paloh, kerjasama ini menampilkan susunan muzik eksklusif serta gabungan yang membawa emosi dan kekayaan muzikal yang lebih besar pada malam terbabit.
Atilia akan disokong dengan mantap oleh pengarah muzik Fly Halizor dan pasukan pemuzik mahirnya, termasuk pemain perkusi hebat Steve Thornton, yang akan mempersembahkan muzik bermutu tinggi bagi mengiringi vokalnya yang memukau.
Turut menjadi penyokong setia perjalanan seni Atilia Haron ialah Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang sudah menyokong penyanyi-penulis lagu terkemuka ini sejak awal kerjayanya, sambil mengiktiraf sumbangan berterusan beliau kepada landskap muzik Malaysia.
Sementara itu, Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, sebagai salah satu rakan kongsi utama Atilia Haron in Concert, persatuan ini meneruskan komitmennya dalam meraikan bakat tempatan dengan menyokong inisiatif yang menghormati evolusi luar biasa Atilia sebagai artis dan usahawan.
“KARYAWAN berbesar hati atas peluang menyokong konsert ini. Kami mengiktiraf pelbagai pencapaian Atilia dalam bidang muzik dan perniagaan.
“Beliau sudah mencipta ruangnya sendiri dalam industri muzik dan amat dikagumi kerana kehebatan bakat muziknya.” katanya.
Tiket untuk menonton bermula dari RM168 sehingga RM248 boleh didapati di myticket.asia
© New Straits Times Press (M) Bhd

