Pernikahan kontroversi: Jarak usia 50 tahun, mas kahwin 3 bilion rupiah

Pernikahan kontroversi: Jarak usia 50 tahun, mas kahwin 3 bilion rupiah

Jakarta: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 74 tahun mencetuskan kekecohan selepas dilaporkan membayar mas kahwin tiga bilion rupiah (kira-kira RM870,000) untuk mengahwini seorang wanita 50 tahun lebih muda daripadanya, lapor South China Morning Post.

Malah, lelaki itu dan pasangannya yang berusia 24 tahun sekali lagi didakwa mencetuskan kontroversi selepas mereka menghilangkan diri tanpa membayar jurugambar perkahwinan mereka menyebabkan siasatan polis dilancarkan.

Majlis perkahwinan mewah itu berlangsung pada 1 Oktober lalu di Pacitan, Wilayah Jawa Timur, namun tidak jelas bagaimana pasangan itu bertemu.

Menurut pasukan videografi perkahwinan, mereka pada mulanya dimaklumkan mas kahwin itu berjumlah satu bilion rupiah (kira-kira RM290,000) tetapi ia tiba-tiba “dinaik taraf” kepada tiga bilion rupiah (kira-kira RM870,000) semasa majlis.

Video yang tular dalam talian menunjukkan majlis itu diadakan di lokasi mewah dengan tetamu bersorak apabila pengantin lelaki menyerahkan cek bernilai tiga bilion rupiah (kira-kira RM870,000).

Malah, tuan rumah turut dilaporkan memberikan wang tunai 100,000 rupiah (kira-kira RM29) kepada tetamu.

Bagaimanapun, sejurus selepas majlis itu, syarikat fotografi perkahwinan terbabit secara terbuka menuduh pasangan pengantin baharu itu pergi tanpa membayar mereka dan terus memutuskan hubungan.

Khabar angin turut tersebar pantas dalam talian mendakwa lelaki itu

bukan sahaja gagal membayar vendornya tetapi juga melarikan diri dari lokasi menaiki motosikal milik keluarga pengantin perempuan, malah ada yang membuat spekulasi cek itu palsu.

Seorang saudara daripada pihak pengantin perempuan pula menyuarakan kemarahan mendakwa keluarga dan jiran berulang kali memberi amaran kepada pengantin perempuan supaya berhati-hati tetapi dia masih terperangkap dalam kontroversi itu.

Berdepan kecaman hebat dalam talian, lelaki itu kemudiannya menggunakan media sosial untuk mengesahkan mas kahwin mewah itu adalah benar, mengatakan ia datang dari Bank Central Asia (BCA) Indonesia dan menafikan sekeras-kerasnya khabar angin dia melarikan diri.

Dia menafikan dakwaan meninggalkan isteri baharunya sambil menegaskan: “Saya tidak meninggalkan isteri saya, kami masih bersama.” Keluarga pengantin perempuan juga berkata: “Itu berita palsu. Mereka baru sahaja pergi berbulan madu.”

Pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap aduan yang difailkan oleh syarikat fotografi perkahwinan itu, manakala kisah berkenaan mencetuskan perbincangan meluas di media sosial sama ada ia “cinta sejati atau kerana wang.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top