Tawar kereta sewa haram, 'ulat' ditahan di KLIA

Tawar kereta sewa haram, 'ulat' ditahan di KLIA

mhafis@mediaprima.com.my

Sepang: Tindakan seorang lelaki menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengundang padah apabila ditahan semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berkata, hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal 2 KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA membuat satu tangkapan ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan pemandu ditahan serta disita untuk siasatan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga penumpang warganegara Malaysia dari Terminal 2 KLIA ke Balai Polis Sri Hartamas, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM120 dan akan dibayar bila sampai ke destinasi.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima ( tahun atau kedua – duanya

“Jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Orang awam dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top