mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad olahraga negara membawa misi besar ke Sukan Remaja Asia (AYG) 2025 di Manama, Bahrain, dari 22 hingga 31 Oktober ini apabila muncul sebagai antara kontinjen terbesar dalam kalangan atlet muda Malaysia.
Menurut jurulatih, Muhd Khairi Amri, pasukan itu dibarisi 12 atlet lelaki dan lima atlet wanita, dibantu oleh enam jurulatih yang akan mengiringi mereka sepanjang kejohanan.
Beliau berkata, Malaysia akan mengambil bahagian dalam beberapa acara olahraga yang dipertandingkan, menjadikan skuad ini antara penyumbang utama kepada saiz kontinjen negara bagi edisi kali ini.
“Tumpuan utama kami adalah memastikan atlet olahraga mampu bersaing dengan peserta dari negara lain serta mencipta keputusan positif sepanjang tempoh penyertaan.
“Selain itu, penyertaan ini penting untuk memberi pendedahan awal kepada atlet muda supaya mereka dapat membina keyakinan dan pengalaman bagi kejohanan akan datang,” katanya.
Katanya, semua atlet kini berada pada tahap terbaik selepas menjalani program latihan intensif di bawah kendalian barisan jurulatih berpengalaman yang memberi tumpuan kepada kekuatan fizikal, teknik dan kestabilan mental.
Khairi menjelaskan bahawa tumpuan latihan bukan sekadar mengejar pingat semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada atlet menyesuaikan diri dengan tekanan pertandingan bertaraf benua yang menjadi batu loncatan ke peringkat lebih tinggi.
“Ini medan terbaik untuk melihat potensi sebenar pelapis muda negara. Jika mereka mampu bersaing dengan atlet terbaik Asia, itu sudah cukup menunjukkan hala tuju pembangunan olahraga negara berada di landasan yang betul,” katanya.
Beliau juga berharap agar penyertaan kali ini dapat membina semangat berpasukan dan membentuk generasi atlet yang berdaya tahan tinggi serta mampu mengharumkan nama negara pada pentas lebih besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
Kejohanan AYG 2025 dijangka menjadi platform penting buat atlet muda Malaysia untuk menguji kemampuan, memperkukuh pengalaman dan mencipta detik bersejarah baharu buat kontinjen olahraga negara di bumi Bahrain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




