am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang terutama dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), digital dan tenaga akan terus diperkukuh tanpa menjejaskan kepentingan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Malaysia bertekad meneruskan kerjasama bernilai tinggi tanpa menjejaskan hubungan jangka panjang dengan negara lain.
“Rundingan dengan Amerika Syarikat akan menjadi agak sukar kerana sudah tentu mereka mahu memenuhi keutamaan dan kejelasan dasar mereka.
“Kita tiada masalah mengambil langkah perlu bagi memperkukuh perdagangan dua hala dan pelaburan dengan Amerika Syarikat, namun ia tidak seharusnya menjejaskan kerjasama serta hubungan baik kita dengan negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia kekal terbuka dalam sektor perdagangan dan kerjasama bagi memperkasakan ekonomi negara termasuk dengan Amerika Syarikat.
“Semikonduktor antara bidang yang diberi tumpuan, selain AI, digital dan tenaga. Beberapa rundingan sedang dijalankan dan kita berharap dapat dimuktamadkan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Jumaat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dasar konsisten, kestabilan politik serta komitmen Malaysia terhadap peralihan ekonomi dan tenaga menjadikan negara ini destinasi menarik bagi pelabur asing.
Mengenai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat, Anwar berkata, perbincangan kini berada di peringkat akhir.
“Beberapa bulan kebelakangan ini, perbincangan dan rundingan mengenai tarif serta isu perdagangan sedang dijalankan bagi memperkukuh perdagangan dan pelaburan.
“Saya boleh katakan ia sudah selesai 99.9 peratus. Baki 0.01 peratus akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada hari Jumaat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




