Bellingham wira Madrid

Madrid: Jaringan Jude Bellingham membantu Real Madrid mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Juventus 1-0, awal pagi tadi.

Pasukan gergasi Sepanyol bimbingan Xabi Alonso mendominasi sebahagian besar permainan, namun gagal menambah jaringan selepas pemain antarabangsa England itu menyudahkan peluang dari jarak dekat pada separuh masa kedua.

Juventus, yang kini tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, berjuang habis-habisan tetapi gagal mencari gol penyamaan di Stadium Santiago Bernabeu.

Kemenangan Madrid itu menjadi persiapan sempurna menjelang El Clasico menentang Barcelona pada Ahad ini dalam saingan La Liga, dan meletakkan mereka antara lima pasukan memenangi tiga perlawanan pembukaan peringkat liga, termasuk juara bertahan Paris Saint-Germain.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ia perlawanan sukar dengan peluang di kedua-dua pihak dan kami terpaksa berhempas-pulas untuk menang, tetapi ini kemenangan penting menentang pasukan besar,” kata penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, kepada Movistar selepas membuat penampilan ke-300 untuk kelab itu.

“Mereka ialah Juve bukan pasukan kecil. Apabila mereka bertahan dengan 11 pemain dan cuba menyerang balas, bukan mudah untuk berdepan mereka.”

Kedua-dua pasukan berhati-hati pada awal permainan, namun perlahan-lahan pasukan Alonso mula menguasai rentak.

Brahim Diaz menghantar bola kepada bintang Perancis yang sedang cemerlang, Kylian Mbappé, tetapi rembatan penyerang itu ditepis keluar oleh penjaga gol Michele Di Gregorio.

Mbappé kemudian melakukan larian solo hebat dari sebelah kanan untuk memecah masuk ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola ke Eder Militao, yang melepaskan rembatan deras sedikit tersasar.

Itu peluang terbaik separuh masa pertama, sebelum permainan menjadi lebih terbuka selepas rehat.

Courtois melakukan satu penyelamatan penting dengan kakinya untuk menafikan Dusan Vlahovic pada penghujung serangan balas pantas Juventus.

Madrid akhirnya memecah kebuntuan hasil gerakan cemerlang Vinicius Junior, yang masih belum menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Pemain Brazil itu dikelilingi pertahanan dalam kawasan penalti tetapi berjaya mencipta ruang untuk melepaskan rembatan yang terkena tiang.

Bellingham menunjukkan naluri pemburu golnya apabila pantas menyambar bola muntah dan menolak masuk pada minit ke-57.

Ia gol pertama pemain berusia 22 tahun itu musim ini, dalam penampilan ketujuhnya, selepas permulaan perlahan berikutan pembedahan bahu pada musim panas lalu untuk memulihkan kecederaan jangka panjang.

“Saya sangat gembira untuk Jude. Selepas kecederaan, dia perlukan satu perlawanan yang baik,” kata Alonso kepada Movistar.

“Selain daripada gol, dia bermain dengan sangat baik, memenangi banyak bola di bahagian tengah. Saya gembira untuk semua pemain, tetapi terutamanya untuk Jude.”

Mbappé yang menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut untuk kelab dan negara, tergelincir ketika melakukan rembatan, membolehkan Di Gregorio menyelamatkan percubaannya ketika Madrid memburu gol kedua.

Penjaga gol Itali itu kemudian melakukan dua penyelamatan menakjubkan untuk menafikan Mbappé dan Diaz, sekali gus mengekalkan harapan Juventus untuk mengikat keputusan.

Juventus mempunyai satu peluang keemasan apabila Raul Asencio meluncur masuk untuk menghalang rembatan Loïs Openda ketika masa hampir tamat.

Mbappé sekali lagi mencuba dari jarak jauh untuk mengekalkan rekod jaringannya, namun Di Gregorio sekali lagi bertindak cemerlang.

“Kami memulakan peringkat kumpulan ini dengan cara terbaik,” kata pemain tengah Madrid, Aurelien Tchouameni.

“Kami menentang pasukan yang kuat dan bertahan dengan baik, jadi ia bukan mudah bagi kami, tetapi kami yakin kami akan menjaringkan gol.”

Sementara itu, pasukan bimbingan Igor Tudor, Juventus, masih belum menang selepas tiga perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara mereka.

“Kami ada kekuatan dan kelemahan, tetapi kami mesti terus mempercayai pasukan ini kerana kami berada di landasan yang betul,” kata Tudor.

“Kami bermain dengan semangat dan tenaga, tetapi selepas banyak berlari, ketajaman kami berkurangan. Ramai pemain belum biasa bermain pada tahap setinggi ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top