GOJO beri diskaun 10 peratus kepada penerima vaksin

GOJO beri diskaun 10 peratus kepada penerima vaksin

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Syarikat e-hailing, GOJO memperkenalkan insentif diskaun perjalanan 10 peratus bagi penerima vaksin, inisiatif untuk menyokong program vaksinasi negara.

Ketua Pegawai Operasinya, Pradeep Kumar, berkata inisiatif berkenaan dirancang untuk membantu masyarakat khususnya kelompok B40 dalam menjayakan program vaksinasi kerajaan.

Katanya, inisiatif itu juga dapat membantu penerima vaksin membuat tempahan perjalanan lebih awal bagi memastikan penerima vaksin COVID-19 tidak terlepas temujanji mereka.

“Bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan, GOJO turut memperkenalkan beberapa inisiatif dan ciri menarik.

“Inisiatif ini direka khusus untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia dan ekspatriat yang berdaftar bagi mengurangkan beban masyarakat dalam menghadapi pandemik ini,” katanya.

Pradeep berkata, bagi menikmati tawaran istimewa itu, bakal penerima vaksin hanya perlu muat turun aplikasi GOJO dan menggunakan kod promo ‘VAKSIN’ untuk mendapatkan potongan harga bagi setiap perjalanan.

“Untuk tempahan sila layari http://onelink.to/gojovaksin. Pihak GOJO dan pemandu amat berbangga dengan program vaksinasi ini dan menyokong sepenuhnya program vaksinasi ini.

“Diskaun 10% ke atas akan diberikan bagi tambang perjalanan untuk semua rakyat Malaysia dan ekspatriat untuk perjalanan pergi dan balik dari pengambilan vaksinasi.

“Pihak GOJO juga menawarkan ciri tempahan awal di mana pelanggan boleh membuat tempahan lebih awal sebelum waktu temu janji bagi memastikan mereka tidak terlepas untuk sesi vaksinasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebagai sokongan langkah kerajaan menangani pandemik, beliau berkata, teknologi pengenalan wajah GOJO Malaysia memastikan keselamatan, di mana ia memberi amaran kepada pemandu atau pelanggan bahawa memakai topeng muka adalah wajib.

GOJO kini telah menjadi aplikasi e-hailing yang paling pesat berkembang di Malaysia dengan mencatatkan 160,000 muat turun dari pelanggan dan pemandu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top