Penantian keluarga berakhir, bilal ditemukan lemas

Penantian keluarga berakhir, bilal ditemukan lemas

am@hmetro.com.my

Temerloh: Bilal masjid yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap, di sini, semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Mayat Samsul Azmi Ishury, 41, ditemukan pada jam 9.35 pagi di Sungai Pahang berhampiran Kampung Loyang, kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai pelbagai agensi.

Menurutnya, operasi disambung semula pada jam 7.43 pagi selepas ditangguhkan pada jam 6.50 petang semalam berikutan mangsa gagal ditemukan.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama Unit Pengesan K9 menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian sebelum mangsa ditemukan pada jam 9.35 pagi.

“Mayat ditemukan kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi dia dipercayai lemas sebelum dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR membabitkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, lima anggota PPDA BBP Bukit Angin serta empat anggota Unit K9 bersama seekor anjing pengesan.

Turut membantu operasi ialah lapan anggota polis, 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 37 penduduk kampung yang menggunakan 17 bot.

Mohd Salahuddin berkata, pada hari pertama operasi semalam, pasukan penyelamat melakukan beberapa selaman di lokasi mangsa dipercayai lemas namun gagal menemukannya sebelum operasi ditangguhkan.

Dalam perkembangan sama, seorang anggota bomba mengalami kecederaan retak pada pergelangan tangan selepas tersepit antara bot dan sangkar ikan ketika membantu operasi SAR petang semalam.

Terdahulu, mangsa yang juga bilal sebuah masjid di Kampung Lipat Kajang dilaporkan hilang selepas dipercayai berenang untuk menyeberangi Sungai Pahang sebelum dihanyutkan arus.

Kehilangan mangsa disedari selepas motosikal dan barangan peribadinya ditemukan di tebing sungai, manakala saksi memaklumkan melihat mangsa berenang di kawasan berkenaan sebelum kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top