Beego yakin ada ruang berdamai dengan Linda

Beego yakin ada ruang berdamai dengan Linda

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Beego percaya masih terdapat ruang untuk dia berdamai dalam hubungan dengan isterinya, Linda Hashim berikutan mereka kerap berhubung soal anak.

Sebelum ini, Beego atau nama sebenar, Aszerul Nizam Abdullah, 45, mendakwa tidak berpeluang berhubung dengan Linda berikutan disekat di semua platform media sosial.

“Baru-baru ini anak kedua, Anggun Cassandra melecur kaki. Linda minta bantuan saya uruskan anak-anak yang lain.

“Alhamdulillah, bagi saya, itu permulaan yang baik. Sampai hari ini, kami masih berkomunikasi.

“Saya ada tanya sama ada hendak berbaik, namun dia minta hormati keputusannya. Tetapi, saya fikir masih ada ruang untuk berbaik,” katanya ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Beego mendakwa melalui ‘hari-hari indah’ apabila Linda menyerahkan semula kunci rumah kepadanya.

“Dia suruh saya temankan anak-anak dan tidur dengan mereka di Seri Rampai, iaitu tempat Linda dibesarkan, sementara Linda pulang ke rumah kami.

“Buat masa ini, Linda bersama anak-anak tinggal di rumah keluarganya. Mungkin dia hendak besarkan anak dalam suasana arwah mamanya dulu.

“Kalau Linda hendak saya pindah ke situ pun tiada masalah supaya kita boleh sama-sama uruskan anak-anak, daripada berpisah macam ini pun akan jadi masalah,” katanya.

Linda menuntut cerai daripada Beego di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Beego dan Linda berkahwin pada Jun 2013. Selain Anggun, 10, mereka turut dikurniakan dua lagi cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, dan Indah Camelia, 6.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top