Misteri tugu Freemason di Lenggeng

Misteri tugu Freemason di Lenggeng

am@hmetro.com.my

Nilai: Penduduk di kawasan perumahan di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, di sini, meluahkan rasa tidak selesa dengan kewujudan satu tugu yang dikaitkan dengan pertubuhan Freemason.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau menerima aduan berhubung kewujudan batu tugu di sebidang tanah semalam.

“Penduduk meluahkan kebimbangan mengenai kewujudan batu tugu itu kerana ia didirikan di kawasan penduduk yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Strukturnya walaupun bersaiz sederhana tetapi tidak sesuai dibina di situ. Timbul juga persoalan lokasi ini dipilih sedangkan banyak lagi kawasan lain yang boleh dibina,” katanya.

Beliau berkata, susulan aduan yang diterima, pihaknya sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan lanjut dan difahamkan notis merobohkan struktur berkenaan juga sudah dikeluarkan.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan punca dan alasan tugu itu dibina di kawasan yang 95 peratus penduduknya berbangsa Melayu.

“Saya akan mendapatkan maklum balas lanjut daripada MBS mengenai status tanah ini,” katanya.

Beliau berharap penduduk setempat dapat bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top