harisfadli@hmetro.com.my
Subang Jaya: Keadaan jalan basah dipercayai menjadi punca kemalangan maut membabitkan kenderaan e-hailing yang terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 28.7 (KM) Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika kejadian kenderaan e-hailing jenis Perodua Bezza itu dinaiki dua beradik berusia 21 dan 19 tahun menuju ke arah Bandar Kinrara.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang di bahagian kiri jalan kira-kira 10 malam.
“Mangsa remaja perempuan warga tempatan berusia 19 tahun yang duduk di bahagian kiri tempat duduk penumpang mengalami kecederaan di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan maut oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian, manakala abangnya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera.
Katanya, pemandu e-hailing iaitu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun hanya mengalami cedera ringan dan sudah menerima rawatan, manakala abang mangsa kini masih di hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi di talian 019-4753785.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan remaja perempuan berusia 19 tahun maut, manakala seorang lagi penumpang dan pemandu ‘e-hailing’ cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu terperosok ke arah besi pembahagi jalan di Jalan Puchong Batu 14, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




