suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) komited untuk memperkukuh peranan semak dan imbang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan setiap dasar dan tindakan agensi dilaksanakan dengan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, tahun ini membawa cabaran baharu dalam usaha memerangi rasuah yang kini bersifat rentas sempadan, melibatkan aspek ekonomi, teknologi dan digital.
Katanya, rasuah kini muncul dalam pelbagai bentuk yang semakin kompleks seperti perolehan digital, penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan manipulasi data kewangan antarabangsa.
“LPPR akan terus memastikan SPRM kekal berdaya saing melalui peningkatan keupayaan sumber manusia, sistem teknologi siasatan dan pembangunan integriti dalaman.
“Bagi agenda 2025, LPPR mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk memperkukuh sistem integriti dan audit dalaman, meningkatkan literasi antirasuah secara digital, memperluas penyelidikan dasar bersama agensi antarabangsa serta menambah baik kebajikan pegawai SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat LPPR Bilangan 2 Tahun 2025 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Indera Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin; dan ahli-ahli LPPR serta pegawai kanan SPRM lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perang menentang rasuah bukan tanggungjawab satu agensi, tetapi tanggungjawab nasional yang memerlukan keberanian moral dan kebersamaan rakyat.
“Dalam mesyuarat itu, LPPR turut menyambut baik usaha SPRM memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC); United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC); International Anti-Corruption Academy (IACA); Implementation Review Group of the United Nations Convention Against Corruption (IRG) serta pelaksanaan Jakarta Statement yang disifatkan sebagai langkah strategik dan berpandangan jauh,” katanya.
Sementara itu, Azam berkata, pihaknya menyambut baik cadangan LPPR dan SPRM akan melaksanakan setiap tugasan yang diamanahkan dengan penuh dedikasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




