nurul_husna@mediaprima.com.my
KONFLIK penyewa dan tuan rumah bukan isu baru malah jika tidak ditangani dengan wajar, boleh berakhir dengan insiden buruk.
Bermula dengan hal remeh seperti kenaikan sewa bulanan dan rumah yang tidak dijaga elok oleh penyewa boleh membuatkan isu berlarutan.
Sebenarnya, dalam isu sewaan, penyewa memiliki hak tertentu berdasarkan mereka adalah pihak yang menerima khidmat dan membayar sewaan berdasarkan perjanjian dengan pemilik.
Penyewa perlu tahu antara hak yang mereka peroleh selama menjadi penyewa.
Sekiranya penyewa berhadapan dengan masalah, dengan memahami hak terbabit, mereka boleh mendapatkan nasihat guaman atau membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Namun, tindakan atau tuntutan itu perlu disusuli dengan menyimpan semua rekod berkaitan, dan penyewa juga tidak melakukan sesuatu yang melanggar syarat yang sudah dipersetujui.
Berikut adalah hak yang perlu diketahui dan difahami sebelum meneruskan tuntutan:
1. Hak Perjanjian Sewa Secara Bertulis
Perjanjian sewa bertulis daripada tuan rumah antara hak paling utama ketika menyewa mengikat urusan sewaan kediaman.
Penyewa perlu memastikan butiran penting seperti nama dan alamat tuan rumah, tarikh mula dan tempoh penyewaan, jumlah bayaran sewa dan tarikh pembayaran dan deposit keselamatan (biasanya satu hingga dua bulan sewa) dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian terbabit.
Sebagai penyewa juga perlu membaca dan memahami semua terma dan sebaiknya mengesahkan semua butiran sebelum menandatangani perjanjian dengan tuan rumah.
2. Hak Deposit Keselamatan Dikembalikan
Menuntut kembali deposit keselamatan apabila tempoh sewa tamat antara hak penyewa jika tiada kerosakan kepada hartanah atau barang-barang yang disediakan.
Deposit biasanya membabitkan satu hingga dua bulan sewa, serta deposit untuk bil utiliti (air, elektrik, gas).
Tuan rumah tidak boleh menahan deposit melainkan terdapat kerosakan kepada rumah atau perabot, bil utiliti tertunggak, sewaan tertunggak.
Tuan rumah juga harus memulangkan deposit ini dalam tempoh 14 hingga 30 hari selepas penyewa keluar dari rumah.
3. Hak Privasi Termasuk Tidak Diganggu
Mempunyai hak privasi adalah hak penyewa dan tuan rumah tidak boleh masuk ke rumah sewa tanpa kebenaran.
Tuan rumah hanya boleh melihat rumah sewa dalam situasi kecemasan atau terdapat terma perjanjian sewa membenarkan lawatan dengan notis yang wajar.
Penyewa boleh meminta tuan rumah mengeluarkan notis sebelum melakukan pemeriksaan atau penyelenggaraan.
Notis yang sama juga diguna pakai jika terdapat keperluan tuan rumah ingin menunjukkan rumah kepada bakal penyewa lain.
4. Hak Kediaman Selamat dan Terjaga
Penyewa mempunyai hak untuk tinggal di rumah yang selamat dan dalam keadaan yang sesuai untuk didiami.
Tuan rumah perlu memastikan fungsi keperluan dalam rumah seperti sistem elektrik, air, dan gas dalam keadaan baik.
Selain itu, struktur bangunan yang stabil dan selamat serta persekitaran dalam rumah perlu berada dalam keadaan bersih. Ini termasuk bebas daripada risiko bahaya seperti kebocoran, kulat, atau serangan serangga.
5. Hak Menuntut Membaiki Kerosakan
Sekiranya berlaku kerosakan kepada hartanah, contohnya, kerosakan paip atau atap bocor.
Penyewa berhak meminta tuan rumah untuk membaikinya dengan segera.
6. Hak Menolak Kenaikan Sewa Tidak Sah
Tuan rumah tidak boleh menaikkan sewa sesuka hati ketika tempoh sewaan. Sekiranya terdapat sebarang kenaikan sewa, ia perlu melalui proses berikut.
– Dibincangkan terlebih dahulu dengan penyewa.
– Sesuai dengan syarat perjanjian sewa, jika dinyatakan.
– Dilaksanakan selepas perjanjian tamat atau pada tempoh pembaharuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




