Pengawal keselamatan maut tersepit dipercayai terlelap ketika memandu

Pengawal keselamatan maut tersepit dipercayai terlelap ketika memandu

am@hmetro.com.my

Tawau: Pengawal keselamatan wanita maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bombalai – Merotai, pagi tadi, dipercayai akibat terlelap ketika memandu.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, mangsa, Jumahirah Ramalan, 38, yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari tempat kerja menuju ke rumahnya dipercayai terlelap ketika melalui satu selekoh sebelum kenderaannya memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kenderaan dipandu mangsa bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dipandu wanita berusia 35 tahun.

“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa berpusing semula ke laluannya sebelum bertembung dengan sebuah pikap Toyota Hilux yang dipandu wanita berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Katanya, pemandu Proton Saga dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan perut, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan serius.

“Semakan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk selepas selesai bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tawau,” katanya sambil menambah kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan pikap terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, sembilan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 44 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi selepas keadaan disahkan terkawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top