Niezam Zaidi hayati watak bengis tapi menyayangi kanak-kanak dan wanita

Niezam Zaidi hayati watak bengis tapi menyayangi kanak-kanak dan wanita

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kami gunakan senjata jenis M1 Carbine (.30 Carbine) untuk penggambaran filem ini yang dipinjam dari Muzium Polis.

“Masa dekat set itu, kena tulis nama, kena bagi tandatangan semua barulah boleh dapat pegang senjata betul.”

Demikian kongsi pelakon filem Orang Perang, Niezam Zaidi atau Mohd Niezam Mohd Zaidi, 34, yang melakonkan watak Bah Tangga.

Menurut Niezam, dia tetap berpegang pada arahan dan tidak sesekali bermain-main dengan senjata itu.

“Walaupun tak ada peluru, kita yakin tak ada peluru, tapi jangan buat main sebab ada benda, wallahu’alam sebab ada rumors kata, dia tetap ‘berhantu’. “Dia macam peluru hantulah. Itu apa yang saya diberitahu. Setiap kali di set bila dah pakai pakaian sebagai Bah Tangga, memang kena pegang senjata penuh disiplin.

“Ada etikanya untuk pegang senjata. Dia tak boleh sewenang-wenangnya letak sini, lepas itu saya pergi sana, tak boleh. Kena letak satu tempat,” katanya.

Menurutnya, Bah Tangga seorang yang baran, bengis dan tegas, tetapi ada sisi lembut di mana dia sangat menyantuni wanita ataupun menghargai kaum wanita dan sangat suka pada kanak-kanak.

“Sembilan minggu juga saya duduk dalam hutan untuk menghayati ataupun yang paling penting konsisten dengan watak itu.

“Pada mulanya memang kami nak pakai bahasa suku Semai. Tetapi atas faktor-faktor yang tertentu dan juga untuk umum, kami berbincang dan capai kata putus di mana kita cakap bahasa baku.

“Itu lebih sesuai supaya semua orang boleh faham. Tapi saya sebenarnya bersedia guna bahasa Semai sekiranya ada persediaan yang mencukupi,” katanya.

Orang Perang terbitan 3Line Media Sdn Bhd dan Nanord Studio Production mengisahkan keberanian orang asli mempertahankan tanah air.

Filem epik aksi arahan Hashim Rejab ini diinspirasikan daripada kisah benar kaum Semai yang berlatarbelakangkan Tanah Melayu pada era 1950-an ketika ancaman komunis menjejaskan keselamatan penduduk.

Ia ditayangkan kepada peminat di pawagam seluruh negara mulai semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top