Penganggur mengaku ada masalah mental didakwa rosakkan cermin kedai

Penganggur mengaku ada masalah mental didakwa rosakkan cermin kedai

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Ya… saya memang ada ‘psy’ (masalah kesihatan mental),” kata penganggur yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana merosakkan cermin kabinet kedai makan dengan batu bata, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Shukri Ramli, 41, mengakui ada masalah mental ketika menjawab pertanyaan Majistret Mustaqim Sukarno, sebelum mahkamah memerintahkannya menjalani pemeriksaan psikiatrik di Hospital Permai, Johor Bahru selama sebulan.

Majistret membuat perintah itu bagi menentukan sama ada tertuduh sesuai untuk dibicarakan atau sebaliknya.

Mustaqim didakwa dengan sengaja membaling sebongkah batu bata sehingga menyebabkan cermin kabinet makanan di sebuah kedai nasi kerabu di Parit Raja, dekat sini, pecah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.26 tengah malam, 26 September lalu, mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, seorang wanita yang tiba di kedainya pada jam 5 pagi, mendapati cermin kabinet menyimpan makanan di premis itu pecah.

Pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, kelibat lelaki tidak dikenali menunggang motosikal, sebelum membaling sebongkah batu ke dalam premis berkenaan.

Bertindak atas maklumat, polis menahan tertuduh pada jam 5.50 petang, 30 September lalu bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Tiada tawaran ikat jamin diberikan dan kes disebut semula pada 2 November ini bagi mendapatkan laporan perubatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top