am@hmetro.com.my
Cyberjaya: Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, 52, memandang serius kes buli di sekolah kerana anak sulungnya, Ammar Effendy pernah menjadi mangsa buli ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebelum ini.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, Ammar pernah menjadi mangsa buli ketika menuntut di MRSM Pasir Salak dan Kuantan ketika itu.
“Sebenarnya, kes buli ini membabitkan mentaliti budak sekolah yang suka sangat bergaduh, nak tunjuk hero dan tunjuk siapa yang lebih hebat.
“Anak sulung saya, Ammar sendiri pernah menjadi mangsa buli ketika dia berusia 15 tahun dan menuntut di MRSM Pasir Salak. Bila ditukarkan ke MRSM Kuantan pun dia masih kena buli juga.
“Jadi, saya pindahkan Ammar ke sekolah biasa sehingga dia dapat keputusan peperiksaan yang bagus barulah saya masukkan dia ke Kolej Yayasan Saad di Melaka dan tiada kes buli di kolej berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan bacaan skrip sempena pelancaran filem Anak Mami Jarum : Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Profesor Dr A. Razak Mohaideen semalam.
Mengenai anak bongsunya Aaisyah Dhia Rana,11, pula, kata Che Ta, anak perempuannya itu belajar di sekolah antarabangsa dan tiada kes buli dilaporkan setakat ini.
“Saya berasa takut dengan keselamatan Aaisyah bila dengar kes buli yang dilaporkan setiap hari di sekolah.
“Kita pun tak tahu dengan mentaliti budak dari kampung yang mungkin suka mengejek anak selebriti tapi Aisyah bersekolah di sekolah antarabangsa dan setakat ini tiada masalah.
“Buat masa sekarang, Aaisyah tengah ‘homescooling’ (persekolahan di rumah) dan akan kembali semula ke sekolah pada tahun depan,” katanya.
Mengulas mengenai ‘homeschooling’ lagi, kata Che Ta, dia tidak kisah jika Aaisyah mahu belajar di rumah sahaja selepas ini.
“Saya okay sahaja kalau dia nak ‘homeschooling’ kerana lebih selamat dengan tenaga pengajar yang datang ke rumah.
“Memang ada ustazah pun datang mengajarnya mengaji Al-Quran di rumah,” katanya.
Terdahulu, Che Ta meluahkan rasa bimbang dengan peningkatan kes jenayah dan buli di sekolah dan didakwa mempertimbangkan untuk anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana belajar di rumah atau ‘homeschooling’.
Menerusi perkongsian video di TikTok, Rozita berkata, sebagai langkah keselamatan dia ingin mendapatkan khidmat guru wanita untuk anaknya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




