redzuan.muharam@hmetro.com.my
Dengkil: Tiga belas tahun lalu, Aishah Mohamed Amin dan suami, Mohd Shafiq Mohd Som diuji dengan kelahiran anak sulung, Juhd Mohd Shafiq yang berstatus orang kurang upaya (OKU) akibat autisme.
Sekitar Ogos 2023, Aishah, 37, perlu menerima hakikat pula yang suaminya, Mohd Shafiq, 38, mengalami pendarahan otak hingga lumpuh sebelah kiri badan selepas diserang angin ahmar.
Kesannya, Mohd Shafiq yang dulu mencari rezeki sebagai pelukis ilustrasi bebas tidak dapat bekerja manakala Aishah perlu menjaga dan menguruskan cinta hatinya yang sehingga kini belum dapat berdikari.
Menceritakan kisahnya, Aishah yang juga ibu lima anak berkata, pendarahan otak dialami suaminya itu berpunca daripada darah tinggi dan dipengaruhi oleh faktor genetik kerana adik juga abang iparnya meninggal dunia akibat penyakit yang sama.
“Suami pasangan juga bapa yang penyayang tapi sejak sakit, segala-galanya berubah dan dia pernah koma selama empat minggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) tapi bertahan sehingga kini.
“Awalnya susah nak terima dan berada dalam fasa penafian hingga terlalu nak suami sihat sampai saya pun jadi tertekan.
“Keadaan itu menyebabkan mental saya terganggu hingga disahkan ada gangguan utama depresi (MDD) dengan gangguan kebimbangan (Anxiety distress).
“Tapi saya cuba reda dan yakinkan diri untuk terima ketentuan ini walaupun rasa kehilangan besar sejak suami sakit,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Kampung Sungai Buah, di sini.
Berkongsi rutin hariannya, Aishah berkata, dia berusaha mencari rezeki dari rumah penciota kandungan yang menghasilkan video bagi mempromosikan buku kanak-kanak terbitan syarikat keluarganya.
Bagaimanapun, Aishah juga perlu membahagikan masa dengan dengan menguruskan keperluan suami juga empat anak yang masih bersekolah.
“Rutin harian saya selepas bangun tidur adalah tukar lampin pakai buang suami kemudian bantu suami untuk solat Subuh.
“Kemudian hantar anak ke sekolah seterusnya balik ke rumah untuk mandikan, beri ubat dan bantu suami buat fisioterapi.
“Tengah hari, saya akan memasak dan mengemas rumah kemudian ambil anak pulang dari sekolah pada sebelah petang.
“Begitulah rutin harian saya dan ada waktunya kena bawa anak sulung yang autistik menjalani terapi dan menemani suami untuk menghadiri temujanji dengan pakar di Hospital Serdang, Selangor dan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurut Aishah, doktor memberitahu yang suaminya sudah tiada harapan untuk pulih selepas disahkan paliatif iaitu tiada rawatan sejak bulan lalu.
Aishah berkata, biarpun masih ada selera makan, suaminya tidak boleh menelan makanan sebaliknya hanya boleh minum jus buah dan susu kerana tahap kesihatan yang semakin merosot.
“Dulu suami boleh bangun lagi tapi sekarang nak bangun pun sudah tak larat dan nampak terseksa.
“Suami pun tak boleh bergerak melainkan dengan kerusi roda dan saya menjaganya ibarat emak menguruskan anak, bukannya isteri.
“Rasa sunyi pun ada kerana perlu buat semuanya sendiri tapi keluarga terutama adik beradik dan rakan terdekat banyak beri semangat untuk saya kuat,” katanya.
Meskipun berat, Aishah reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap sudah ditakdirkan untuk berbakti dengan suami.
“Tak kuat sebenarnya tapi syukur kerana ramai beri sokongan terutama sejak berkongsi rutin sebagai penjaga suami di Instagram (IG).
“Niat saya nak kongsikan momen itu di media sosial dan tunjuk kepada suami kerana banyak yang dia tak ingat.
“Perkongsian itu diharap dapat bagi semangat juga kepada penjaga pasangan atau ibu bapa di luar sana yang menonton supaya mereka tidak berasa keseorangan,” katanya.
Buat masa ini, Aishah menerima elaun penjaga pesakit terlantar sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan barangan keperluan suami sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) berjumlah RM1,800 setahun oleh Kementerian Pendidikan (KPM) buat anak sulungnya, Juhd.
Orang ramai yang berhasrat meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 12470086698527 atas nama Aishah Mohamed Amin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




