norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi terkenal, Datuk Aishah, 61, mendakwa penjualan awal tiket konsert solonya berjudul Aishah 40 Chapters of Love disabotaj.
Tarikh penjualan tiket yang mula dibuka kepada orang ramai pada 17 April lalu tidak membolehkan peminat membeli dan diketahui selepas aduan peminat.
Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin ditemui berkata beliau hanya mampu menangis sepuasnya sebaik mengetahui perkara itu bagi melepaskan segala perasaan sedih.
“Saya memang menangis sahaja apabila dapat tahu daripada banyak aduan peminat yang beritahu mereka tidak dapat membeli tiket. Ketika itu, dah tak boleh nak fikir apa, kecuali saya hanya menangis.
“Tetapi, selepas berasa sudah betul-betul tenang baru saya hubungi pihak pengurusan konsert untuk berbincang apa yang hendak dibuat bagi selesaikan masalah tiket berkenaan.
“Senang cerita, memang masalah sistem untuk penjualan tiket yang berlaku sangat memusingkan kepala saya. Tetapi dengan apa yang terjadi itu, kita ‘move on” sahaja.
“Hendak sedih lama-lama pun tak bagus juga. Jadi, kita kena cepat bertindak dan cari penyelesaiannya.
Maka, kita ubah sistem penjualan tiket beralih kepada platform lain,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Aishah ditemui hadir pada sidang media sempena Konsert Aishah 40 Chapters of Love berkenaan di Restoran Rebung di ibu kota, petang tadi.
Meskipun tenang dan memaklumkan dalam nada berseloroh, namun Aishah tegas mendakwa insiden yang terjadi berkemungkinan wujudnya unsur penipuan dalam sistem.
Berbicara lanjut, Aishah menjelaskan bahawa pengurusannya bagaimanapun tidak mahu menuding
jari kepada mana-mana pihak, malah fokus untuk selesaikan kekeliruan peminat.
“Kami tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Apa yang penting sekarang adalah menjelaskan kekeliruan ini kepada peminat. Ramai peminat yang hubungi saya bertanya macam mana mereka nak beli tiket?.
“Justeru, kini saya memohon bantuan daripada rakan media untuk menghebahkan semula bahawa kami sudah menukar ‘vendor’ tiket kepada platform baharu iaitu ticketmelon.com.
“Mana-mana peminat yang sebelum ini tidak dapat membeli tiket konsert saya harapnya boleh membuat urusan pembelian yang lebih lancar menerusi platform baru berkenaan,” katanya.
Terdapat lapan kategori tiket yang ditawarkan bermula dari RM168 (Taman Keabadian) sehingga RM788 (VVIP).
Konsert Aishah 40 Chapters of Love yang berskala mega berkenaan bakal berlangsung di Megastar Arena Bukit Bintang, Kuala Lumpur, jam 8 malam pada 4 Julai depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




