Taipei: Peninju Taiwan yang mencetuskan kontroversi jantina di Sukan Olimpik Paris 2024, Lin Yu Ting, sekali lagi menjadi tumpuan selepas lawannya menyerah kalah di tengah pertarungan pada temasya Sukan Kebangsaan Taiwan.
Lin, 29, dilihat tersenyum sinis ketika lawannya, Wu Peiyi, menarik diri dan membuang tuala sebagai tanda menyerah kalah selepas hanya 94 saat bertarung di pusingan pertama.
Aksi itu menyaksikan Peiyi, peninju berusia 19 tahun dari universiti tempatan, dijatuhkan dua kali ke lantai sebelum bangkit untuk memulakan pusingan kedua. Namun selepas beberapa siri tumbukan balas, dia berhenti, melangkah ke belakang dan meninggalkan gelanggang dipercayai sebagai tindakan protes.
Yu Ting pada mulanya kelihatan keliru, namun kemudian menyedari keputusan lawannya sebelum berjalan tenang ke sudut gelanggang dan disahkan sebagai pemenang.
Jurulatihnya, Tseng Tzu-Chiang, berkata kemenangan itu adalah hasil persiapan rapi pasukan.
“Ia satu aksi yang baik. Kami hanya lakukan apa yang sudah dirancang,” katanya yang turut mengesahkan ini adalah penampilan rasmi pertama Lin sejak kejayaan di Sukan Olimpik Paris.
Kemenangan itu juga menandakan gelaran pertama Yu Ting dalam kategori 60 kilogram selepas meraih pingat emas di Paris, yang ketika itu turut mencetuskan perdebatan hangat mengenai isu jantina dan kelayakan atlet.
Sebelum ini, Persekutuan Tinju Dunia memperkenalkan peraturan baharu pada Ogos lalu dengan mewajibkan ujian genetik jantina bagi semua peninju berusia lebih 18 tahun bagi menentukan kelayakan mereka menyertai kejohanan antarabangsa.
Peraturan itu menyebabkan Yu Ting dan seorang lagi peninju yang terpalit kontroversi sama, Imane Khelif dari Algeria juara kategori welterweight di Paris tidak beraksi di pentas antarabangsa untuk tempoh lama.
Bagaimanapun, Sukan Kebangsaan Taiwan menggunakan peraturan berbeza dan tidak memerlukan ujian jantina, sekali gus membuka ruang buat Yu Ting bertanding.
Awal minggu ini, Yu Ting turut menewaskan lawan pusingan pertama, Pan Yan-Fei, dalam masa hanya 94 saat selepas rentetan tumbukan ke kepala menyebabkan Pan kelihatan sesak nafas sebelum jurulatihnya membuang tuala dan pertarungan dihentikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




