am@hmetro.com.my
Changlun: Lapan sekeluarga berdepan detik cemas apabila mereka terperangkap dalam kawasan dusun di Kampung Wang Perah yang paras air sungainya melimpah akibat hujan lebat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataannya berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.11 malam tadi.
Berikutan itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Muzzaini Md Isa tiba di lokasi serta bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lama kemudian.
“Mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa berusia antara 20- 50-an dan seorang kanak-kanak berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun.
“Komander Operasi melaporkan bahawa setibanya di lokasi kejadian, didapati kawasan itu berlaku banjir dan pihak bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan itu dengan jentera,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke lokasi kejadian dan setibanya di lokasi kejadian, kesemua lapan mangsa warga tempatan itu berjaya ditemui.
Katanya, mereka kemudian dibawa keluar dengan menggunakan tali untuk menyeberangi anak sungai yang dipenuhi air sehingga ke tempat selamat.
“Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 22.32 malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




