Bertemu selepas 23 tahun terpisah

Bertemu selepas 23 tahun terpisah

am@hmetro.com.my

Ulu Tiram: “Perasaan saya bercampur baur saat pertama kali bersua dengan ayah selepas 23 tahun terputus hubungan kerana kali terakhir saya berjumpa dengannya ketika usia dua tahun,” kata Nur Hazirah Afiqah Abdul Rahim.

Menurutnya, dia tidak sangka dapat bertemu semula dengan bapanya Abdul Rahim Mohamed Yunos pada usia 25 tahun.

Katanya, dia memperoleh alamat terakhir bapanya selepas membuat cabutan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun lalu sebelum mendirikan rumah tangga.

“Alamat terakhir yang dimaklumkan adalah di Ulu Tiram namun apabila saya ke alamat berkenaan, penghuninya tidak dikenali, oleh itu saya tiada rezeki untuk bertemu bapa hingga terpaksa menggunakan wali hakim.

“Memang sebelum ini juga ibu dan saya pernah mencari bapa di beberapa kawasan di Johor tetapi gagal.

“Saya teringin nak peluk ayah, dia baik sangat ketika saya kecil, tapi saya masih tertanya mengapa dia tidak berusaha mencari saya walaupun saya adalah darah dagingnya,” katanya.

Nur Hazirah Afiqah berkata, berdasarkan rekod JPN dia percaya bapanya masih hidup dan masih berpeluang untuk bertemu dengan insan istimewa itu.

Jadi dia mengambil keputusan untuk membuat hebahan di media sosial kelmarin iaitu meminta bantuan orang ramai untuk mengesan bapanya.

Katanya, dia tidak sangka dalam tempoh kurang setengah jam, ada pengguna di laman sosial Facebook (FB) berkongsi suatu keratan akhbar yang mengandungi gambar dan nama menyampai bapanya.

“Saya teruja dan gembira apabila menerima maklumat berkaitan bapa, akhirnya doa saya selama ini terjawab,” katanya.

Nur Hazirah berkata, ketika ibu bapa hidup bersama, keluarganya tinggal di Pasir Gudang namun terputus hubungan selepas keduanya berpisah dan kini dia tinggal di Parit Raja, Batu Pahat.

“Bapa saya berkahwin tiga kali, saya anak tunggal dari perkahwinan ayah yang kedua, ayah ada empat anak dengan isteri pertama manakala tujuh anak dengan isteri ketiga.

“Saya pernah sebarkan berita berkaitan ayah tapi tak dapat sambutan macam kini.

“Rupanya kisah bapa saya pernah didedahkan di akhbar Harian Metro dan Berita Harian sebelum ini kerana dia memerlukan bantuan.

“Saya syukur dengan pelbagai maklumat yang dikongsi individu yang mengenali bapa termasuk nombor telefon bapa, alamat hingga membolehkan saya untuk bertemu kembali dengan bapa.

“Semalam adalah suatu detik yang saya tidak dapat lupakan, selepas dua dekad saya bertemu semula dengan bapa,” katanya.

Menurutnya, bapanya berkongsi berkaitan pelbagai pengalaman hidup termasuk hidup susah sebelum dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram.

“Dia memang tidak dapat berjalan namun amat ceria selepas bertemu dengan saya, saya berterima kasih kepada semua yang membantu bapa dan melancarkan urusan pertemuan kami termasuk Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

“Masa mula jumpa bapa tak kenal kerana memang lama tak pernah jumpa tapi selepas memperkenalkan diri, bapa ingat terus panggil nama timangan saya iaitu Dekno.

“Saya mendekatinya, bapa terus peluk saya dan berpesan berhubunglah semula dengan adik beradik yang lain.

“Pada masa itu ada saya berpeluang membuat panggilan video dengan adik beradik lain hasil isteri pertama yang tinggal di Pahang selain beramah-mesra dengan anak bapa yang tinggal bersamanya di PPR,” katanya.

Turut menemaninya termasuk suami Mohamad Sazrul Hafiq dan anak lelaki sulung berusia enam bulan.

Sementara itu, Abdul Rahim berusia 54 tahun berkata, dia juga pernah berusaha bagi mengesan anak perempuannya namun gagal.

Menurutnya, dia amat bersyukur dengan peluang diberikan Allah bagi bertemu dengan anaknya yang lama terpisah.

“Saya memang rindu Dekno, teringat dia,” katanya.

Abdul Rahim sebelum ini bekerja di sebuah kilang membuat batu di Seelong diserang strok sebanyak dua kali termasuk pada Januari lalu selain pertengahan Mei lalu.

Malah Abdul Rahim sekeluarga dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram  pada 7 Oktober lalu.

Pada 7 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan kisah keluarga berkenaan yang dihalau dari rumah sewa di Jalan Banjaran, Kempas di sini akibat tidak mampu membayar tunggakan sewa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top