Gadis ditikam 61 kali: Dua warga emas dibebas hari ini

Gadis ditikam 61 kali: Dua warga emas dibebas hari ini

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pasangan warga emas yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes penuntut kolej wanita ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman, Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan polis. hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pasangan berusia 60 dan 66 tahun itu dilepaskan sebelum tempoh reman berakhir esok.

“Kita kini fokuskan siasatan terhadap dua remaja berusia 19 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, warga emas yang juga pasangan suami isteri itu adalah ibu bapa kepada seorang daripada suspek berkenaan.

Semalam, pasangan warga emas itu ditahan reman selama tiga hari bermula semalam, manakala dua remaja lelaki direman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat seorang wanita ditemui di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, pada 12.30 tengah malam Jumaat dengan mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top