Tak sentuh isu rumah tangga, tapi kongsi keperibadian Uqasha

Tak sentuh isu rumah tangga, tapi kongsi keperibadian Uqasha

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan pempengaruh, Betty Rahmad menegaskan tidak memberi komen mengenai hal perkahwinan, sebaliknya berkongsi keperibadian rakannya yang juga pelakon, Uqasha Senrose.

Menurut Betty, 44, dia hanya meluahkan rasa kagum dengan sikap rajin Uqasha dan berkongsi pengalamannya mengenai sosok pelakon itu dalam hantaran di Threads, baru-baru ini.

“Saya hanya tulis bahawa Uqasha yang saya kenal ialah seorang yang sangat rajin bekerja. Maksud saya, kalau kita tidak kenal seseorang itu, lebih baik jangan membuat andaian. Itu sahaja.

“Saya tidak pernah menyebut apa-apa mengenai hal perkahwinan mereka pun. Mungkin orang salah tafsir, sebab cara orang memahami sesuatu yang ditulis dan sesuatu yang diucapkan secara lisan itu berbeza.

“Saya faham hal itu, dan saya pun belajar daripada pengalaman ini kerana saya akui penulisan saya mungkin tidak begitu jelas. Saya sedar, bila kita menulis, nada dan maksudnya tidak selalu sama seperti apabila kita bercakap dalam video,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berlapang dada walaupun dikecam oleh netizen kerana mengetahui niatnya bukan mahu menyentuh hal rumah tangga sesiapa atau menumpang glamor.

“Saya hanya ingin menyatakan sesuatu yang benar mengenai seseorang yang saya kenal.

“Jika perkara yang sama berlaku kepada mana-mana kawan saya sekalipun, dan saya tahu fakta sebenar, saya akan tetap menyatakan kebenaran.

“Saya tidak berkata perkara buruk, saya hanya menyatakan apa yang betul. Itu sahaja,” katanya.

Betty menegaskan pihak yang melihat kesilapan dilakukannya tidak perlu menuding jari kepada agama atau orang yang menyertai program usrah.

“Saya tidak kisah jika orang mahu mengutuk perangai saya, rupa saya, atau bahkan keluarga saya, kakak, mak, adik-beradik saya semua. Saya tak kisah.

“Tapi saya cuma minta satu perkara, tolong jangan hina orang yang pergi usrah, jangan kata orang yang menghadiri majlis ilmu itu tidak berguna. Jangan salahkan agama.

“Yang silap dan yang buruk itu saya, bukan agama. Bukan sebab saya pergi majlis ilmu bermakna saya sudah baik. Tidak. Saya pergi majlis ilmu kerana saya mahu memperbaiki diri.

“Masih banyak perkara yang saya perlu pelajari, banyak kelemahan yang saya perlu perbaiki. Itulah sebabnya saya pergi usrah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top