saufi@mediaprima.com.my
MALAYSIA melakar sejarah apabila menjadi antara negara terawal menandatangani ‘Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Jenayah Siber’, sekali gus memperkukuh komitmen negara terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi ancaman siber rentas sempadan.
Langkah ini menandakan kesungguhan politik Malaysia dalam memperkukuh kerjasama global bagi menjamin ruang siber yang lebih selamat, stabil dan berdaya tahan.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir. Dr Megat Zuhairy Megat Tajudin berkata, penyertaan negara dalam konvensyen itu adalah manifestasi jelas keazaman untuk menyesuaikan dasar serta perundangan domestik dengan norma antarabangsa dalam menangani jenayah siber.
“Ia bukan sekadar simbolik, tetapi satu deklarasi Malaysia bersedia menjadi rakan aktif dalam membentuk ekosistem siber global berasaskan undang-undang, kepercayaan dan tanggungjawab bersama.
“Negara turut memainkan peranan penting dalam proses perundingan dan penyediaan draf konvensyen sejak Disember 2021 dengan NACSA bertindak sebagai agensi penyelaras utama.
“Pada masa sama, NACSA bersama agensi penting lain seperti Kementerian Luar Negeri (KLN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Megat Zuhairy berkata, konvensyen ini juga dilihat signifikan kerana berlaku ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai peneraju keselamatan dan tadbir urus digital serantau.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mahu memastikan pembangunan ekonomi digital dan kerjasama rentas sempadan disokong oleh sistem keselamatan siber yang kukuh dan berasaskan undang-undang antarabangsa,” katanya.
“Ia juga sejajar dengan ‘Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN’ (DEFA) dan ‘Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN’ yang menekankan kepercayaan digital, daya tahan dan maklum balas serantau terhadap ancaman siber,” katanya.
Menerusi penyertaan negara dalam konvensyen ini, Malaysia menghantar mesej jelas kepada komuniti antarabangsa bahawa rantau ini serius dalam memperkukuh tadbir urus siber yang terbuka, selamat dan berinteroperasi.
“Konvensyen PBB itu juga melengkapi pelaksanaan ‘Dasar Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030’ yang bertujuan memperkukuh keupayaan institusi dan undang-undang negara dalam menangani ancaman siber moden.
“NACSA kini dalam proses memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Februari depan.
“RUU baharu ini akan menjadi pemangkin kepada sistem penguatkuasaan berasaskan undang-undang antarabangsa, membolehkan Malaysia bertindak pantas dan lebih berkesan terhadap kes jenayah siber merentas sempadan,” katanya.
Pada masa sama, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berperanan sebagai pusat maklum balas pantas negara terhadap insiden keselamatan siber.
Melalui integrasi NSRC dengan penawaran rangkaian 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di bawah Konvensyen PBB dan Konvensyen Budapest, Malaysia dapat memperkukuh kerjasama global dalam perkongsian maklumat dan pengurusan bukti digital.
Katanya, sinergi ini akan meningkatkan kecekapan penyiasatan rentas negara serta mempercepatkan tindakan terhadap pelaku jenayah siber yang beroperasi di luar sempadan.
“Pendekatan berasaskan kerjasama antarabangsa ini memastikan Malaysia bukan sahaja mampu bertahan, tetapi juga menjadi sebahagian daripada jaringan global yang memacu keselamatan dan kepercayaan dalam dunia digital,” katanya.
“Dalam dunia tanpa sempadan ini, tiada negara yang boleh menghadapi ancaman siber bersendirian.
“Konvensyen ini bukan sahaja melindungi kepentingan nasional, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pelopor tanggungjawab digital global,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




