De Bruyne cedera paha, bakal berehat hingga tahun depan

De Bruyne cedera paha, bakal berehat hingga tahun depan

Naples: Hasrat Napoli untuk mengekalkan rentak cemerlang dalam saingan Serie A menerima tamparan hebat apabila pemain tengah utama mereka, Kevin De Bruyne, disahkan mengalami kecederaan paha serius ketika membantu pasukannya menewaskan Inter Milan 3-1, Ahad lalu.

Bekas pemain Manchester City itu menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti sebelum dilihat memegang bahagian belakang paha kanannya dan terpaksa dikeluarkan.

De Bruyne kemudian kembali ke bangku simpanan dengan bertongkat, sambil kelihatan menahan kesakitan.

“Kevin De Bruyne menjalani pemeriksaan diagnostik yang mengesahkan terdapat koyakan otot paha kanan tahap tinggi,” kata Napoli dalam kenyataan rasmi, tanpa menyatakan tempoh pemulihannya.

Namun, laporan media Itali menjangkakan pemain berusia 34 tahun itu tidak akan beraksi lagi sebelum tahun baharu, sekali gus terlepas beberapa aksi penting Napoli termasuk saingan Liga Juara-Juara.

Kecederaan otot hamstring bukan perkara baru buat De Bruyne, yang sebelum ini direhatkan empat bulan pada 2023 serta enam minggu pada tahun lalu kerana masalah serupa.

Pemain kebangsaan Belgium itu, yang pernah memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City, menjadi watak penting kebangkitan Napoli musim ini dengan empat gol liga serta enam gol untuk Belgium dalam kelayakan Piala Dunia.

Napoli turut memaklumkan bahawa De Bruyne memulakan proses pemulihan di bawah pengawasan pasukan perubatan kelab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top