ASEAN: Petugas media tempatan, antarabangsa beri liputan berkualiti – Anwar

ASEAN: Petugas media tempatan, antarabangsa beri liputan berkualiti – Anwar

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha petugas media tempatan dan antarabangsa yang memberikan liputan berkualiti sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas media dalam hantaran di Facebooknya, malam ini.

“Petugas media tempatan dan antarabangsa telah memberikan liputan menyeluruh serta berkualiti tinggi sepanjang persidangan.

“Kalian menjadi jambatan penting antara dasar dan rakyat, antara semangat ASEAN dan dunia luar.

“Sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menandakan berakhirnya himpunan terbesar pemimpin serantau dan rakan dialog di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pelbagai pencapaian konkrit dalam memperkukuh integrasi ekonomi termasuk memperluas kerjasama strategik dicapai sepanjang tiga hari persidangan.

Beliau berkata, antaranya pemimpin juga mencapai pelbagai hasil penting termasuk kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11.

“Malaysia turut memainkan peranan utama dalam memupuk semangat keterangkuman, kemampanan dan keamanan serantau serta terus menggalas tanggungjawab sebagai suara yang menyeru ke arah dialog, persefahaman dan penyelesaian aman terhadap sebarang pertikaian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top