suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahan reman seorang pemilik syarikat pembekal makanan yang disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan bekalan makanan program latihan kemahiran bernilai kira-kira RM450,000.
Menurut sumber, perintah reman selama tiga hari bermula 28 Oktober sehingga 30 Oktober 2025 dikeluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini, semalam.
Sumber berkata, suspek wanita berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 8.45 malam pada 27 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2018 dengan mengemukakan tuntutan bekalan makanan sebuah program latihan kemahiran kepada agensi kerajaan melalui sebuah yayasan di ibu negara.
“Siasatan awal juga mendapati beberapa nama peserta yang digunakan bagi tuntutan berkenaan menafikan terlibat di dalam program latihan kemahiran berkenaan malah bekalan makanan tersebut juga tidak dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd




