Yamal beli banglo mewah bekas milik Pique

Yamal beli banglo mewah bekas milik Pique

Barcelona: Bintang sensasi Barcelona, Lamine Yamal, dilaporkan bakal berpindah ke sebuah banglo mewah yang pernah dimiliki legenda kelab, Gerard Pique.

Pemain berusia 18 tahun itu didakwa menerima gaji sebanyak £325,000 (RM1.95 juta) seminggu di Catalonia selepas berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai antara remaja paling berbakat di dunia.

Yamal sebelum ini sudah membeli rumah baharu untuk ibu, bapa dan neneknya beberapa bulan lalu.

Kini, dia bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan kediaman mewah untuk dirinya sendiri.

Menurut laporan akhbar El Pais, Yamal sedang meninjau rumah yang pernah dimiliki oleh Pique dan bekas isterinya, penyanyi terkenal Shakira.

Banglo berkenaan pada asalnya disenaraikan pada harga £12 juta (RM72 juta) ketika pasangan itu berpisah dan meletakkannya untuk dijual tiga tahun lalu.

Dibina pada tahun 2012, kediaman itu mempunyai tiga unit rumah berasingan dengan keluasan sekitar 3,800 kaki persegi.

Rumah utama dilengkapi gelanggang tenis, kolam renang dalam dan luar bangunan, serta studio rakaman.

Kediaman itu turut merangkumi dua rumah tambahan, namun salah satu daripadanya sudah dijual, menyebabkan nilai baki hartanah itu kini menurun kepada £9.5 juta (RM57 juta).

Yamal dilaporkan berhasrat melabur sejumlah besar wang bagi melakukan kerja-kerja pengubahsuaian semula.

Setakat ini, pemain muda Sepanyol itu sudah menjaringkan tiga gol dan mencipta lima bantuan gol dalam lapan penampilan bersama Barcelona musim ini.

Barcelona kini menduduki tangga kedua dalam carta La Liga dengan 22 mata daripada 10 perlawanan, ketinggalan lima mata di belakang Real Madrid.

Pasukan Catalan itu tewas 2-1 kepada Los Blancos dalam pertemuan El Clasico hujung minggu lalu.

Kylian Mbappe dan Jude Bellingham masing-masing menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan Real Madrid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top