Nafuzi punca Ott kembali sertai TFC

Nafuzi punca Ott kembali sertai TFC

Kuala Nerus: Keyakinan terhadap falsafah bola sepak dibawa ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain menjadi antara faktor utama pemain import Terengganu FC (TFC) Manuel Ott, membuat keputusan kembali menyarung jersi skuad Penyu bagi kali ketiga.

Meskipun mendapat pelbagai tawaran menarik daripada beberapa pasukan lain termasuk Sabah FC, pemain berusia 34 tahun itu nekad berhjirah daripada kelab Rayong FC, Thailand ke TFC yang mempunyai tempat istimewa di hatinya.

Pemain skuad kebangsaan Filipina itu berkata perlawanan akhir Piala Malaysia

menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2023 menjadi pengalaman paling manis dan berharga, dan diharap dapat diulangi sebagai hadiah untuk penyokong skuad Penyu.

“Ada beberapa kelab menyatakan minat mendapatkan khidmat saya, tetapi corak diterapkan Nafuzi amat sesuai dengan saya. Beliau seorang jurulatih yang bagus dan saya amat tertarik dengan falsafah diterapkan beliau. Saya sudah biasa dengan taktikal beliau dan saya di sini untuk membantu pemain muda menyesuaikan diri dengan gaya permainan itu.

“Selain itu, saya mempunyai pengalaman yang baik bersama TFC. Banyak perkara menarik…saya suka makanan dan suasana di sini tidak terlalu sibuk,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Sehubungan dengan itu, Ott berharap penyokong skuad Penyu dapat kembali ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk memberi sokongan kepada pasukan bagi mencipta lebih kejayaan pada musim 2026/2027.

Pemain kelahiran Munich, Jerman itu berkata setakat ini penerimaan peminat amat positif dan beliau berazam untuk membalas kepercayaan itu dengan menaikkan kembali reputasi pasukan di arena bola sepak negara.

Bekas kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu mula menyertai TFC pada 2022 sebelum berhjirah ke Kedah pada 2023 dan kembali semula ke Terengganu pada pertengahan 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top