AKPS tahan warga China cuba seludup ketamin bernilai lebih RM420,000

AKPS tahan warga China cuba seludup ketamin bernilai lebih RM420,000

Putrajaya: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mematahkan cubaan seorang warga China untuk menyeludup dadah jenis ketamin bernilai lebih RM420,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2.

AKPS hari ini memaklumkan dalam kejadian pada 3.25 petang semalam, lelaki berusia 26 tahun yang tiba dari Sihanoukville, Kemboja ditahan susulan imej mencurigakan dikesan di dalam dua bagasi miliknya.

“Pegawai AKPS kemudiannya menahan penumpang berkenaan untuk pemeriksaan lanjut sebelum kes dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi pengesahan imej pengimbas,” menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS, hasil pemeriksaan Pasukan Narkotik JKDM menemukan lebih 900 bungkusan kecil disyaki mengandungi ketamin seberat enam hingga tujuh kilogram yang disembunyikan di lapisan dalam bagasi.

Nilai pasaran dadah dirampas dianggarkan antara RM420,000 hingga RM500,000 dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top