Pengundi Johor mahu wakil rakyat tunai janji kempen PRN

Pengundi Johor mahu wakil rakyat tunai janji kempen PRN

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengundi di negeri ini mahu calon yang diangkat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu dapat menunaikan segala janji ketika kempen selain menghentikan budaya berpolitik sepanjang masa.

Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Datuk Mohd Ridhwan Othman berkata, rakyat sudah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan tiba masanya wakil rakyat memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kawasan serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Rakyat sudah memberi mandat. Mereka mahu melihat hasil, bukan lagi polemik politik yang berpanjangan.

“Keutamaan sekarang ialah memastikan soal kebajikan, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan negeri terus diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kestabilan politik yang wujud selepas PRN perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri dapat dilaksanakan tanpa gangguan, khususnya agenda Maju Johor 2030 yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya, agenda berkenaan menggariskan pelbagai inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat Johor.

Bagi pekerja swasta, Nurafiqah Roslan, 38, semua wakil rakyat tanpa mengira parti, perlu mengotakan janji dan manifesto yang ditawarkan sepanjang kempen lalu.

“Jangan jadi pemimpin yang hanya pandai berjanji tetapi tidak menepatinya. Mandat selama tempoh lima tahun yang diberikan rakyat harus diterjemahkan dengan menyelesaikan sebarang masalah yang dibawa oleh rakyat,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan ahli perniagaan, Brian Tan Chong Beng yang mahukan kerajaan yang stabil bagi meneruskan pembangunan negeri tanpa berdepan sebarang halangan.

“Pelabur dari luar sudah pastinya mahu melihat kestabilan politik terlebih dahulu sebelum mereka melabur di satu-satu kawasan. Sebab itulah pentingnya ada sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

PRN Johor ke-16 pada Sabtu lalu menyaksikan BN berjaya memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus diberikan mandat baharu untuk mentadbir negeri.

Semalam, Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top