AFC harap isu FIFA-FAM segera selesai

AFC harap isu FIFA-FAM segera selesai

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meletakkan harapan besar agar isu membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) diselesaikan segera agar memudahkan AFC memutuskan keputusan di peringkat benua ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pihaknya akan menunggu keputusan rayuan FAM dan jika keputusan tidak memihak badan induk bola sepak tempatan itu, ia akan diheret ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Segalanya bergantung kepada FAM selepas ini kerana kita akan menunggu keputusan rayuan terakhir sama ada daripada jawatankuasa rayuan ataupun CAS.

“Selepas itu, pihak AFC akan menerima laporan penuh daripada pihak berkenaan sebelum kami boleh membuat sebarang keputusan (hukuman di peringkat AF) lanjut menerusi Jawatankuasa Disiplin.

“Justeru, saya harap segalanya dapat dipercepat 31 Mac 2026 pada hari terakhir kelayakan Piala Asia 2027 nanti.

“Ini kerana selepas ini kita akan fokus dengan persiapan undian Piala Asia 2027,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Sebagai rekod, FIFA menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen selain memberi denda kepada FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.

Difahamkan, antara hukuman minimum yang boleh dijatuhkan AFC ke atas FAM sekiranya gagal dalam proses rayuan ke FIFA adalah pemotongan mata seperti yang ditetapkan dalam statut badan induk bola sepak Asia itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top