Hakim Danish raih tonik terbaik hadapi di JuniorGP

Hakim Danish raih tonik terbaik hadapi di  JuniorGP

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yakin pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meraih tonik untuk memberikan persembahan cemerlang di pusingan keenam Kejuaraan JuniorGP di Litar Catalunya, hujung minggu ini.

Jelas Zulfahmi, pengalaman beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 menerusi tiket wild card pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia minggu lalu pasti akan membantu Hakim Danish merencanakan tunggangan lebih berkualiti sekali gus berada di atas podium.

“Minggu ini minggu perlumbaan bagi FIM JuniorGP Pusingan keenam dan dia akan berlumba di bawah pasukan SIC Racing MSi.

“Saya yakin selepas pengalaman wildcard di GP Malaysia bersama pasukan dan kru yang sama, dengan semangat dan rentakmasih ada, kita akan berusaha memberikan yang terbaik.

“Saya berharap Danish dapat menunjukkan prestasi kompetitif dari hari pertama hingga ke perlumbaan,” katanya.

Untuk makluman, saat ini, Hakim Danish berada di kedudukan kesembilan secara keseluruhan dengan 57 mata di Kejuaraan JuniorGP dan sekarang berbaki dua pusingan terakhir iaitu di Catalunya dan Ricardo Tormo, 23 November ini.

Di GP Malaysia minggu lalu, hasrat peminat untuk melihat pelumba kelahiran Terengganu itu beraksi penuh tidak kesampaian apabila jenteranya mengalami masalah teknikal berbaki lima pusingan ketika sedang bersaing merebut kedudukan ke-10.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji pelumba berusia 18 tahun itu yang beraksi dalam kelas Moto3 meskipun tidak berjaya menamatkan saingan di hadapan penyokong sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top