lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jumlah suami yang menjadi mangsa keganasan rumah mungkin lebih ramai berbanding 1,183 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat Julai tahun ini.
Kaunselor berdaftar yang juga Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, stigma lelaki ‘tidak boleh kelihatan lemah’ masih tebal dalam masyarakat menyebabkan mangsa malu untuk tampil membuat laporan.
“Suami yang mencari bantuan sering berhadapan dengan kekangan seperti tiada tempat perlindungan khas atau pegawai yang tidak terlatih untuk menangani mangsa lelaki.
“Apabila lelaki membuat laporan, mereka sering tidak diambil serius oleh pihak berkuasa atau masyarakat, malah ada yang dipersenda.
“Stereotaip ini menghalang mereka daripada meluahkan penderitaan, sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan profesional atau kaunseling,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad dilaporkan berkata, statistik PDRM merekodkan 1,183 kes keganasan rumah tangga membabitkan kaum lelaki setakat Julai tahun ini.
Menyingkap kes keganasan rumah tangga membabitkan lelaki yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, Noraini berkata, pada 2022 sahaja seramai 1,778 mangsa direkodkan.
Pada 2023, katanya terdapat penurunan kepada 1,213 kes, namun jumlahnya naik semula pada 2024 kepada 1,865 kes.
Mengulas lanjut, Siti Fatimah berkata, dari segi kesan jangka panjang, trauma dan tekanan psikologi yang dialami mangsa dera rumah tangga boleh meninggalkan luka mendalam terhadap emosi dan tingkah laku mereka.
Menurutnya, kebimbangan berpanjangan dan mempersoalkan ‘kelelakian’ mereka boleh membawa kepada kemurungan mendalam serta keresahan melampau.
“Suami yang sering dipermalukan, dikawal, atau direndahkan oleh pasangan, menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap diri sendiri.
“Dalam jangka panjang, mereka berasa tidak layak untuk dihargai atau disayangi, seterusnya sukar membina hubungan yang sihat.
“Lebih memburukkan keadaan apabila mangsa menyalurkan tekanan melalui penyalahgunaan alkohol atau dadah yang kemudiannya menyebabkan anak-anak terabai dan keluarga berantakan,” katanya.
Justeru, beliau menyokong langkah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang akan memperhebat pelaksanaan Program Lelaki Budiman Negara.
Inisiatif itu bertujuan memperkasa peranan lelaki sebagai suami, bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, memupuk budaya hormat-menghormati antara pasangan serta mengurangkan risiko penderaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




